Perpaduan semakin mekar, kukuh

KUCHING: Perpaduan memerlukan kerjasama antara kaum di Malaysia dan bukan hanya melibatkan satu kaum sahaja. Sejak akhir-akhir ini, isu perkauman dan agama hangat diperkatakan di media sosial sehingga menimbulkan kemarahan setiap rakyat di seluruh negara.
Berkongsi pendapat mengenai perpaduan di Sarawak, salah seorang kaunselor Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Kaunselor Rabian Kipli berkata, perpaduan adalah kunci kemakmuran dan pendamaian di Sarawak.
“Saya salah seorang pesara guru dan saya melihat perpaduan sebagai satu kepentingan. “Sebagai guru, kami tidak boleh memilih murid yang dididik, tidak kira sama ada murid itu berbangsa Iban, Melayu, Cina, India dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak baru-baru ini.
Rabian berkata, tanggungjawab sebagai guru mendidik beliau bahawa perpaduan tidak kira di mana sahaja. “Setelah bersara dan dilantik sebagai kaunselor di MPP, saya turut melihat perkara ini dari aspek yang sama.
“Apabila membuka restoran makanan laut sendiri, saya masih berfikir mengenai perkara ini dan ia lebih jelas kerana pelbagai jenis masyarakat datang berkunjung ke restoran saya,” katanya yang juga pengusaha restoran makanan laut di Telaga Air.
Menurut beliau, setelah berkecimpung dalam dunia perniagaan, beliau mendapati perpaduan di Sarawak tidak seperti di Semenanjung Malaysia. “Majoriti pelanggan saya adalah masyarakat Cina.
Lebih-lebih lagi pada hujung minggu, 70 ke 80 peratus pelanggan adalah masyarakat Cina. “Ini suatu perkara biasa di Sarawak di mana Cina akan berkunjung ke kedai Melayu dan begitu sebaliknya,” jelas beliau lagi.
Berkongsi pengalaman beliau ketika masih bergelar pelajar di Semenanjung Malaysia, beliau menjelaskan sentimen perkauman sememangnya kuat berbanding di Sarawak. “Di sana, saya dapat melihat perbezaan yang amat ketara, malah isu kecil sahaja boleh dijadikan satu isu yang amat besar,” ujarnya.
Bagaimanapun di Sarawak, Rabian memberitahu ia amat berbeza kerana rakyat saling memahami antara satu sama lain. “Jika menziarah ke rumah panjang, kita dapat berkongsi tempat tidur bersama masyarakat berlainan bangsa.
Apabila makan, kita masih berkongsi pinggan dan sudu yang sama digunakan oleh penduduk kampung. “Ia bukan bermaksud kita tiada keutuhan kepada agama sendiri tetapi, saling menghormati itu yang menyebabkan kita saling bergaul,” tambah beliau lagi.
Sehubungan itu, beliau berharap agar pada tahun baharu 2021 akan lebih membawa perpaduan kepada semua bangsa di seluruh negara.