PERPADUAN merupakan aset paling penting dalam memperkukuh kedaulatan dan keamanan negara terutama negara yang mempunyai masyarakat majmuk.
Tanpa semangat perpaduan dalam masyarakat majmuk, sesebuah negara mudah terdedah dengan ancaman musuh dari luar atau dalam.
Oleh itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan dasar Kerajaan Malaysia Madani.
Dalam memperkukuh dasar tersebut, nilai hormat perlu ada dalam setiap diri warganegara Malaysia.
Menurut beliau, rakyat yang saling menghormati lebih memahami sesama mereka serta mengukuhkan ikatan persaudaraan.
Inilah menjadi visi membentuk masyarakat Malaysia Madani yang mempunyai nilai menghormati serta kesaksamaan yang tinggi.
Malah, masyarakat Madani itu sendiri mementingkan nilai hormat yang ada dalam masyarakat sehingga terpelihara daripada keaiban dan kehinaan.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, konsep Malaysia Madani ialah konsep yang mempunyai nilai sejagat.
“Kita tidak mahu membentuk Malaysia yang dipengaruhi ketaasuban agama dan perkauman yang tinggi,” ujar Agus.
Tambah Agus, idea Malaysia Madani juga menjadi langkah pertama membentuk negara bangsa Malaysia.
Agus juga menjelaskan dasar Malaysia Madani sememangnya agak berbeza berbanding dasar kerajaan sebelum ini.
“Madani bukan sekadar konsep ilmiah, tetapi mempunyai nilai peradaban yang tinggi seperti yang ditegaskan oleh Ibnu Farabi dan Ibnu Khaldun,” kata beliau lagi.
MENJUNJUNG TINGGI NILAI INTEGRITI
Madani bermaksud masyarakat bertamadun yang mementingkan nilai ilmu serta membentuk akhlak dan nilai murni itu sendiri seperti diketengahkan oleh Ibnu Farabi.
Tambah Agus, nilai Madani perlu ada dalam diri setiap individu dalam mewujudkan keadilan sosial serta menjunjung tinggi nilai integriti.
“Oleh itu, Perdana Menteri kita mahu menanam nilai Malaysia Madani dalam setiap rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak, Menteri Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) Datuk Abdullah Saidol berkata, Sarawak menjadi model kepada Malaysia Madani itu sendiri.
“Perpaduan itu sendiri menjadi aset utama di Sarawak dan sememangnya kita menolak sebarang unsur perkauman yang boleh merosakkan perpaduan di Sarawak,” kata Abdullah.
Abdullah menegaskan unsur perkauman yang boleh memecah belah perpaduan masyarakat majmuk di Sarawak wajib diharamkan.
“Unsur perkauman wajib diharamkan di Sarawak kerana kita mahu hidup aman dan damai di sini,” ujar beliau lagi.
Disebabkan itu, jelas Abdullah, Sarawak mengetengahkan nilai Sarawak First iaitu kerohanian, kekeluargaan dan kekitaan, kematangan dan kerjaya, kesihatan dan keikhlasan dan kemasyarakatan serta kenegaraan.
Oleh itu, Abdullah menekankan generasi muda perlu mengekalkan perpaduan di Sarawak selain menjadi penentu masa hadapan negara.
“Saya menyeru anak muda agar menjiwai Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan,” katanya.
Melalui menghayati kesopanan dan kesusilaan, kita dapat menanamkan nilai hormat yang ada dalam diri rakyat Malaysia sekali gus membentuk impian bangsa Malaysia.
HARAPAN ANAK MUDA
Pelajar Politeknik Kuching Sarawak, Adrence Ripay berharap Malaysia Madani dapat menyatukan masyarakat yang berbilang kaum.
“Saya berharap perpaduan masyarakat majmuk dapat terus dikekalkan sampai bila-bila,” kata Adrence.
Harapan Adrence kepada Malaysia Madani ialah berharap anak muda dapat mencapai segala impian mereka pada masa hadapan.
Selain itu, pelajar Politeknik Kuching Sarawak, Armen Dysha Kanagaretanam berkata, Malaysia Madani merupakan dasar yang dapat menyatupadukan seluruh masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Saya melihat Malaysia Madani dapat dijadikan model menyatukan seluruh rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak,” ujar Armen.
Armen mempunyai impian untuk masyarakat terus bersatu hati pada masa akan datang.