
KUCHING: Program Semarak Uniti Keluarga Malaysia adalah platform untuk menonjolkan perpaduan dalam negara yang didiami penduduk berbilang kaum dan agama.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, program seumpama ini bukan sahaja tertumpu kepada rakyat berbilang kaum tetapi juga melibatkan pelbagai peringkat umur.
“Ini yang kita mahu. Apabila bercakap tentang perpaduan, ia sepatutnya melibatkan semua rakyat secara keseluruhan.
“Tambahan pula, apabila anak-anak kecil turut terlibat dalam program seperti ini, ia secara tidak langsung dapat menyemai semangat perpaduan dalam diri mereka dari usia muda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan program Semarak Uniti Keluarga Malaysia Teguh Bersama: Larian Perpaduan 2022 di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau turut berharap agar program ini menjadi sebahagian daripada jati diri anak muda dan akan diteruskan sehingga dewasa.
“Program seumpama ini perlu diperbanyak bagi memastikan keharmonian, perpaduan dan keamanan sentiasa wujud dalam negara, khususnya di negeri kita,” katanya ringkas.
