KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertahankan cara mereka melepaskan bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Datuk Misbun Sidek, baru-baru ini.
Timbalan Presiden BAM Datuk V. Subramaniam yang mengetuai jawatankuasa khas mengenai kegagalan skuad remaja negara di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, bulan lepas, berkata keputusan menamatkan kontrak Misbun dilakukan dengan cara yang betul.
“Setahu saya, kami telah melakukan apa sahaja perkara dengan sewajarnya.
Saya enggan memberi sebarang komen mengenai isu ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi semalam.
Skuad remaja negara menampilkan persembahan hambar di Yogyakarta apabila mereka tumpas kepada juara bertahan, Thailand, 0-3, di peringkat suku akhir acara berpasukan campuran manakala tiada seorang pun wakil layak ke separuh akhir bagi saingan perseorangan.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat adalah pada 2018 menerusi beregu wanita remaja ketika itu Pearly Tan-Toh Ee Wei yang meraih perak, selain membantu skuad negara ketika itu memperoleh gangsa bagi acara berpasukan campuran.
Subramaniam juga berkata adalah lebih baik bagi semua pihak untuk melupakan kontroversi itu kerana Misbun telah pun akur dengan keputusan itu.
Jumaat lepas, Subramaniam pada sidang media memaklumkan bahawa BAM dan Misbun bersetuju secara bersama untuk berpisah.
Bagaimanapun, Misbun pada sidang media semalam mendakwa beliau telah dipecat secara tidak adil dan tidak pernah mencapai persetujuan bersama dengan BAM untuk berpisah seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Mendedahkan sisi ceritanya, Misbun, yang kontraknya sehingga akhir tahun ini berkata beliau benar-benar kecewa memandangkan ia bercanggah dengan apa yang BAM maklumkan kepada media.
Misbun sebelum ini meninggalkan BAM buat kali pertama pada 2011 sebelum menyertai semula BAM untuk kali kedua pada 2017 sebagai Ketua Jurulatih Perseorangan Lelaki Kebangsaan.
Pada 2020 beliau dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan diikuti sebagai Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja ABM tahun lepas. – BERNAMA