SARIKEI: Persatuan Foochow Sarikei harus mengukuhkan kerjasama sejajar dengan peranan penting mereka sebagai penyumbang pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, walaupun Sarikei kawasan yang kecil namun Persatuan Foochow daerah ini bergerak aktif melaksanakan aktiviti.
Malah katanya, penglibatan aktif ahli persatuan bukan hanya di Sarawak tetapi juga Semenanjung Malaysia dan di luar negara.
“Orang Foochow dahulu berpindah ke Sarikei saling hormat-menghormati dan bekerjasama di antara satu sama lain.
“Foochow merupakan kaum yang bekerja keras, rajin, pintar, kuat semangat dan mempunyai prestasi yang bagus dalam semua bidang, terutamanya ekonomi. Mereka juga banyak terlibat dalam aktiviti kebajikan, ekonomi dan pendidikan,” katanya pada Mesyuarat Tahunan Persatuan ke-24 persatuan itu, semalam.
Beliau berkata, penubuhan Persatuan Foochow Sarikei bukan hanya sebagai platform perpaduan tetapi juga menjaga kebajikan orang Foochow dengan lebih sempurna di bawah kepimimpinan pengerusi persatuan,Kapitan Law Hieng Moon.
Sehubungan itu katanya, melalui persatuan orang Foochow perlu bersatu sebagai sebuah pasukan.
“Pada masa yang sama persatuan ini perlu meningkatkan hubungan baik dengan kaum lain.
“Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana besar untuk pembangunan prasarana dan pendidikan sekolah. Kita sedang giat melaksanakan projek Pembinaan Jalan dari Sarikei menuju ke Tanjung Manis.
“Oleh itu, kita seharusnya memberi sokongan penuh kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan barisan kabinet kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) supaya kawasan Sarikei mendapat pembangunan berterusan.
“GPS, sebagai satu gabungan parti politik asal Sarawak, berjuang untuk semua anak dan rakyat Sarawak,” tambahnya.