Persatuan Melanau hargai jasa Latip

KUCHING: Persatuan Melanau Kuching menyifatkan pemergian pereka fesyen Melanau Abdul Latip Mohti merupakan satu kehilangan besar buat komuniti Melanau di Sarawak dalam usaha memartabatkan budaya Melanau melalui industri fesyen.

Menurut Setiausaha Agungnya John Ling Jirid Tira, kehilangan pereka fesyen Melanau yang cukup dikenali tersebut merupakan satu kehilangan yang tidak dapat dicari ganti.

“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada masyarakat Melanau dalam memperjuangkan dan memperkasakan fesyen terutama pakaian tradisional Melanau.

“Kami bagi pihak persatuan sangat menghargai jasa beliau kerana telah banyak membekalkan set-set pakaian tradisional Melanau untuk ahli-ahli persatuan sejak dahulu sehingga kini,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

John Ling turut menyifatkan Latip merupakan seorang yang cukup peramah dan sopan dalam tutur kata serta merupakan seorang yang sangat memahami pelanggannya.

“Saya banyak belajar tentang budaya dan busana yang diketengahkan oleh Latip sebelum ini, dan saat itu akan tetap menjadi ingatan buat saya dalam usaha memartabatkan tradisi budaya Melanau ini,” ujarnya.

Malah John Ling berharap golongan belia hari ini dapat meneruskan usaha Allahyarham dalam merakyatkan fesyen tradisional Melanau dan kekal relevan ke persada dunia.

“Kami turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan supaya rohnya ditempatkan bersama-sama orang yang soleh,” tambahnya lagi.