Persatuan Tuai Rumah Kawasan Suai bantah penubuhan MPKK

SUAI: Bantahan terhadap  Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) semakin memuncak apabila 45 pemimpin masyarakat tempatan sebulat suara tidak bersetuju dan menolak cadangan penubuhan majlis berkenaan.

Bantahan disuarakan dalam mesyuarat khas Persatuan Tuai Rumah Kawasan Suai  yang diadakan di salah sebuah restoran terkenal di Batu Niah, petang tadi.

Pengerusinya, Boniface Bada berkata, persatuan itu  berpendirian tegas menolak MPKK yang dipercayai membawa impak negatif terhadap perpaduan dan keharmonian masyarakat di negeri ini  khususnya penduduk rumah panjang.

Penolakan terhadap MPKK, katanya, berikutan ia akan menyebabkan pertindihan pengurusan, peranan dan fungsi antara Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) sedia ada.

Ibarat dua kapal dan dua kapten mengendalikan satu kapal. Situasi ini pasti akan menyebabkan ketidaksefahaman hingga boleh mengakibatkan kapal itu karam,ujarnya.

Lagipun, penduduk rumah panjang di kawasan Suai  tidak memerlukan MPKK, tambahan, JKKK sedia ada masih relevan dan mampu menguruskan kampung mahupun rumah panjang,masing- masing, katanya lagi.

Pemimpin tempatan di kawasan Suai menghadiri mesyuarat khas membantah penubuhan MPKK di kawasan Suai.

Selain itu, tambah Boniface lagi, pelantikan ketua masyarakat dan ketua kaum di negeri ini melalui prosedur yang sah serta dipantau Pejabat Daerah.

Beliau percaya, Pakatan Harapan mempunyai agenda tersembunyi di sebalik penubuhan MPKK  sambil menyatakan salah satunya adalah untuk  memecahbelahkan rakyat di kawasan luar bandar terutama  penduduk rumah panjang dan kampung.

Sekiranya mereka(PH) ikhlas dan prihatin dengan kebajikan masyarakat luar bandar, mereka boleh menyalurkan bantuan atau peruntukan kepada JKKK sedia ada seperti mana  dilakukan oleh kerajaan terdahulu,” jelas Boniface lagi.

Justeru, tegasnya, mewakili pemimpin tempatan  di kawasan Suai, persatuan terbabit menolak serta membantah sekeras-kerasnya penubuhan majlis berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menasihati penduduk di  kawasan Suai agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis pihak terlibat, yang pada akhirnya akan merugikan mereka kelak.

Suara Sarawak