Persiapan majlis Pecah Tanah Jambatan Muara Lassa lancar

DARO: Persiapan untuk program perasmian Jambatan Muara Lassa berjalan lancar dengan mesyuarat ketiga jawatankuasa penganjurnya di Pejabat Daerah Daro di sini, hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Muda Jalan Pesisir, Datuk Julaihi Narawi itu turut dihadiri Ahli Parlimen P207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi, ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datu Safri Zainudin.

Sehubungan itu, Julaihi yang juga ADUN Sebuyau berkata, penganjuran program berkenaan amat penting sebagai pemberitahuan kepada penduduk mengenai usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak untuk rakyat khususnya di kawasan pesisir.

“Pembinaan jambatan ini membuktikan Kerajaan GPS yang diterajui Ketua Menteri, Abang Johari Tun Openg tidak bercakap kosong. Kita sememangnya sangat komited dalam menunaikan janji untuk rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan persiapan program berkenaan.

JULAIHI (tujuh kiri) meninjau tapak program sambil ditemani Safiee (enam kiri), Ahmad Johnie (lima kiri) dan ahlijawatankuasa yang lain.

“Kita juga berkesempatan mengunjungi tapak acara yang dijangka dihadiri lebih 6,000 penduduk dan pada masa yang sama, kerja pemasangan khemah juga sudahpun bermula.

“Dengan kesempatan ini, saya menyeru penduduk supaya hadir beramai-ramai untuk memeriahkan program ini,” katanya.

Projek jambatan bernilai RM597.58 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dan bakal memberikan manfaat besar kepada penduduk Daro dan kawasan sekitarnya.

Jambatan sepanjang 2.43 kilometer itu merupakan yang kedua terpanjang di Sarawak, selepas Batang Lupar.

Jambatan Muara Lassa dijangka siap dalam tempoh 48 bulan merupakan pelengkap rangkaian projek jalan pesisir sepanjang 896 kilometer di Sarawak.

Acara bersejarah ini dijangka dihadiri lebih 6,000 penduduk

 

Safiee menerangkan sesuatu kepada Julaihi mengenai persiapan yang dilakukan di tapak program.

Suara Sarawak