Persiapan rapi

DARO: Raptai penuh menjelang penganjuran Majlis Pecah Tanah Jambatan Muara Lassa diadakan di tapak acara itu hari ini.

Program dihadiri Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, ADUN N43 Daro, Safiee Ahmad, Ahli Parlimen Igan P.207, Ahmad Johnie Zawawi, Residen Mukah Hamidah Bakir dan Pegawai Daerah, Bujang Ahmad Seli.

Ia merupakan persiapan terakhir sebelum menjelangnya acara bersejarah yang bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Penganjuran program berkenaan amat penting sebagai pemberitahuan kepada penduduk mengenai usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak untuk rakyat khususnya di kawasan pesisir.

Pembinaan jambatan itu juga membuktikan Kerajaan GPS tidak bercakap kosong. Kita sememangnya sangat komited dalam menunaikan janji untuk rakyat.

Sehubungan itu, ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan persiapan program berkenaan.

“Kita juga berkesempatan mengunjungi tapak acara yang dijangka dihadiri lebih 6,000 penduduk.

“Dengan kesempatan ini, saya menyeru penduduk supaya hadir beramai-ramai untuk memeriahkan program ini,” katanya.

Projek jambatan bernilai RM597.58 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dan bakal memberikan manfaat besar kepada penduduk Daro dan kawasan sekitarnya.

Suara Sarawak