Persidangan Dewan Rakyat perlu dahulukan perkara utama – MBM

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) menyarankan agar persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 18 Mei ini mendahulukan perkara yang perlu diutamakan.

Pengerusi Biro Perundangan, Advokasi, dan Hak Asasi MBM Mohd Fared Mohd Khalid berkata persidangan perlu mengikut fasal keutamaan memandangkan ia hanya bersidang satu hari sahaja.

“Dengan hanya satu hari diperuntukan untuk sidang Dewan Rakyat akibat wabak COVID-19, segalanya akan menjadi sangat terhad untuk semua pihak.

“Dewan Rakyat mesti menjadi contoh utama kepada rakyat dalam isu mengelakkan perhimpunan semasa wabak COVID-19 masih dalam peringkat kawalan.

“Benar Dewan Rakyat perlu bersidang, tapi bersidanglah mengikut fasal keutamaan,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Fared berkata persidangan kali ini akan dibuka dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagaimana ditetapkan Perkara 60 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata ia adalah seperti Titah Diraja atau “Throne Speech” yang diamalkan Parlimen Britain sejak abad ke-16 dan titah tersebut akan menyentuh hasrat baginda selaku ketua negara terhadap dasar kerajaan semasa.

“Mana-mana usul yang tertunda akan ada peluangnya pada sesi yang akan datang.

“Saya menyeru para belia terus berdoa agar kita dan Malaysia amnya terus dikurniakan kerajaan yang prihatin kepada warganya.

“Kerajaan dan pembangkang wajib fokus kepada meringankan kesengsaraan rakyat pasca COVID-19 yang dijangka lebih mencabar,” katanya. – Bernama

Suara Sarawak