Persidangan DUN Sarawak tetapkan SOP

KUCHING: Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-18 hari ini dimulakan dengan penetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Speaker DUN, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.

Dalam ucapan permasyhurannya, Asfia berkata DUN Sarawak memasang penghadang lutsinar di antara setiap meja tempat duduk Adun bagi menetapkan jarak fizikal.

Inisiatif itu, katanya untuk mengurangkan risiko jangkitan dan penularan wabak Covid-19.

“Dewan juga ada menyediakan rehal meja kayu untuk meletakan teks ucapan semasa berucap,” katanya.

Selain itu, Asfia berkata semua Adun diwajibkan memakai pelitup muka dan hanya dibenarkan dibuka sekiranya hendak berucap.

Sentiasa mensanitasi tangan dan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter antara satu sama lain turut ditekankan oleh Asfia.

Dalam usaha untuk mengekang penyebaran Covid-19, persidangan kali ini telah dipendekkan menjadi lima hari bermula hari ini sehingga 13 Disember.

Kelihatan Adun duduk di tempat masing-masing yang sudah dipasang penghadang lutsinar. (Foto: PENERANGAN)

 

Suara Sarawak