BINTULU: Generasi muda Dayak khususnya Iban harus mempertahankan adat resam dan warisan budaya kaum masing-masing demi menjamin kesinambungan identiti setiap kaum negeri ini pada masa yang akan datang Ahli Dewan Negara, Senator Sarimah Rita Patrick Insol berkata, adalah satu kerugian sekiranya budaya dan tradisi sepatutnya dipelihara hilang begitu sahaja tanpa ada sebarang usaha untuk memulihara atau menjaga khazanah berharga itu.
Atas sebab itu, beliau memuji usaha pihak terbabit yang menyediakan platform untuk anak-anak muda mempelajari adat dan ‘main asal’ masyarakat Iban seperti ngajat, kuntau dan sebagainya.
“Saya percaya, main asal Dayak akan terus berkembang dan dipertontonkan kepada seluruh masyarakat di Sarawak dan Malaysia.
“Itulah harapan kita.
Oleh itu, saya berharap telebih lagi anak- anak muda sekarang janganlah lepaskan peluang ini untuk belajar,” katanya.
Beliau berkata pada Majlis Makan Malam Pengerami Tamat Kelas Ngajat dan PraGawai Tahun 2023 anjuran Persatuan Peminat Main Asal Iban (PEMANIS) dan Akademi Main Asal Dayak Bintulu bertempat di Restoran Dinner World, malam semalam.
Teks ucapannya dibaca oleh Tuai Rumah Esther Ansai. Pada majlis tersebut, Rita turut mengumumkan geran peruntukan RM5,000 kepada Akademi Main Asal Dayak Bintulu.
Sementara itu, Pengerusi PEMANIS dan Akademi Main Asal Dayak Bintulu, Ding Ringkai berkata, antara objektif akademi dan persatuan ini ditubuhkan adalah untuk mengekalkan keaslian tarian, memperkembangan adat dan kebudayaan Dayak, sekali gus mengekalkan identiti Dayak.
Selain itu, ia juga bertujuan merancakkan lagi industri pelancongan serta kraf tangan Dayak.