Pertahankan kepimpinan Kerajaan Sarawak

KUCHING: Kerajaan PH tiada kesungguhan untuk meneguhkan semangat Persekutuan, tegas Ketua Penerangan Pas Sarawak Zharudin Narudin, hari ini.

Beliau memberi respon peribadi tersebut berdasarkan kepada pelbagai pergolakan di peringkat Persekutuan yang berlaku hari ini, yang disifatkannya memberi kesan kepada semangat Persekutuan.

“Kita sudah melihat bagaimana pemerintahan PH kini tidak menunjukan perubahan kepada usaha meneguhkan semangat Persekutuan.

“Sikap menghormati negeri-negeri yang membentuk Malaysia ini perlu dikembalikan kerana negara ini bukan dibentuk oleh parti pemerintah Persekutuan tetapi ia hasil daripada keputusan semua negeri yang bersetuju untuk bersama,” jelasnya.

Zharudin menambah, percaturan sewenang-wenangnya seperti perebutan peralihan kuasa Perdana Menteri tidak boleh mengetepi hak Sabah dan Sarawak.

“Meskipun kedudukan wilayah Sabah dan Sarawak jauh daripada pusat pentadbiran Persekutuan, jangan ketepikan hak kedua-dua negeri ini.

“Kerana, perubahan ini akan memberi impak bertukarnya dasar yang mungkin tidak diminati oleh orang yang menggantikan jawatan tersebut,” katanya.

Menurutnya lagi, adalah penting untuk Sarawak terus dijaga dan dilindungi haknya oleh kerajaan negeri masing-masing kerana bahaya yang bakal muncul sekiranya peralihan itu berlaku.

Katanya, banyak pertembungan dasar dan pentabdiran antara Kerajaan Persekutuan dan negeri ini berlaku.

“Kita seolah-olah hanya rakan yang mampu menonton wayang pecaturan yang berlaku di Malaya tanpa mereka merujuk kepada kita di Sarawak dan Sabah.

“Apakah rakyat di sini setuju dengan percaturan tersebut terutama peralihan kuasa Perdana Menteri?

“Mereka menang majoriti dalam pilihan raya bukan bermakna ia lesen untuk melakukan apa sahaja kerosakan dan seolah rakyat bersetuju,” ujarnya.

Oleh itu, beliau mengesa seluruh rakyat Sarawak untuk menilai secara keseluruhan perkara ini dan mempertahankan kepimpinan kerajaan negeri sedia ada.

Baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak dalam PH supaya tidak membicarakan soal peralihan kuasa Perdana Menteri secara terbuka dan menghormati konsensus yang disepakati pada Januari 2018.

Berdasarkan konsensus PH pada Januari 2018, Tun Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar namun tiada tarikh tertentu ditetapkan.

Bagaimanapun, ada sesetengah pihak mendesak Tun Mahahir supaya berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Namun, Anwar yang juga Presiden PKR tetap kekal dengan pendiriannya sebelum ini dengan menyokong Tun Mahathir dalam mengemudi dan memperkukuhkan ekonomi negara.

“PH dan Tun Mahathir berulang kali menegaskan komitmen untuk menjayakan proses peralihan seperti yang dipersetujui,” kata Anwar.

Suara Sarawak