Pertama kali berjauhan dengan keluarga

MUKAH: “Pastinya saya merindui sambutan hari pertama Deepavali bersama-sama keluarga di kampung halaman.

“Selalunya untuk sekali setahun ibu akan sapu minyak bijan di seluruh badan kami (anak lelaki) untuk mengeluarkan haba dari badan.

Saat itu memang saya rindukan,” katanya. Itulah antara saat yang dirindui oleh Balachandran Jasangar, 31, yang sepatutnya pulang meraikan Deepavali tahun ini bersama-sama isteri Rohini Devi Apparao, 28 di Kampung Belakang Pasar di Bidor, Perak.

Akibat pandemik Covid-19, hasrat tersebut terpaksa dibatalkan.

Balachandran yang bekerja sebagai anggota polis di Unit Logistik di sini turut berkongsi kegembiraan kerana ini tahun pertama dia bergelar suami dan sepatutnya meraikan Deepavali di rumah mentua.

ENAK… Antara manisan yang menjadi jaudah utama pada Deepavali

Tahun ini merupakan tahun kesembilan Balachandran berkhidmat di Mukah dan kali pertama dia tidak pulang ke Perak untuk sambutan Deepavali.

“Biasanya pada hari pertama kami sekeluarga akan pergi bersembahyang di kuil.

“Seterusnya melawat ke rumah keluarga lain bagi mendapatkan keberkatan, bertukar angpau dan mengadakan rumah terbuka di sana (Perak).

“Tahun ini semua adik-beradik dan keluarga yang jauh tidak dapat balik kampung, memang sedih dan sunyi.

“Namun demi keselamatan kita kena ikut SOP untuk keselamatan orang lain juga,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di rumahnya.

Balachandran dan isterinya

Dia turut menjemput rakan sekerjanya ke rumah untuk menjamu selera sempena Deepavali.

Jelasnya lagi, Deepavali memberi satu makna yang besar kerana semua ahli keluarga yang jauh dapat berkumpul bersama-sama.

Tambahnya, ia umpama satu keberkatan untuk semua keluarga, dan satu kegembiraan yang tidak dapat dibayangkan.

“Beberapa hari ini saya memikirkan bagaimana untuk meraikan Deepavali.

Tahun ini sambutannya akan berlalu seperti hari-hari biasa, kerana tanpa keluarga, ia tidak memberi makna.

Balachandran bersama rakan sekerja yang turut hadir ke rumahnya.

“Sebab apabila dekat dengan ibu bapa, sambutannya berbeza dan sangat bahagia,” katanya dengan suara sebak.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana kemudahan teknologi memudahkannya berhubung dengan keluarga yang jauh.

Dia turut bercadang mengisi masa cuti untuk melawat Daerah Kapit bersama-sama isterinya.

“Saya harap mereka yang meraikan Deepavali tahun ini untuk sentiasa menjaga SOP, keselamatan diri.

“Selamat Hari Deepavali kepada keluarga yang berada jauh di Perak,” ucapnya.

Manakala bagi adik lelakinya Prakash Naidu Jasangar, 26, yang tidak dapat pulang ke Perak seperti kebiasaan selepas menguruskan peniagaan mencuci kereta di Mukah, jelas di wajahnya merindui saat bersama-sama keluarga pada Deepavali.

“Saya memang rindu dengan keluarga semasa Deepavali.

Selalunya kami pergi ke kuil, main mercun pun tidak dapat pada tahun ini, rindu juga tetapi terpaksa kekal sini.

“Paling sedih rakan rapat saya meninggal dunia baru-baru ini di Perak, saya hanya mampu berdoa dari jauh,” katanya dengan nada sedih.

Dalam pada itu Prakash turut mengakui masyarakat di Mukah cukup mesra dalam pergaulan kerana saling menghormati antara satu sama lain dan tidak lokek dengan senyuman .

“Yang berbeza hanyalah warna kulit. Kita semua sama, jadi kepada sesiapa yang datang ke Sarawak tidak perlu takut.

“Orang di Sarawak semua mesra dan keadaan di sini sangat harmoni.

“Sudah lebih dua bulan saya di sini dan biasanya saya akan balik selepas melawat abang saya,” jelasnya.

Bagi Balachandran, dia cukup selesa dengan suasana perpaduan yang digambarkan dalam masyarakat di Sarawak.

Malah dia juga berhasrat untuk menetap di Mukah untuk tempoh lama.

Dalam kesempatan tersebut, Balachandran dan isterinya menghidangkan juadah Deepavali kepada rakan-rakan yang hadir antaranya nasi beriani, muruku dan ladu.

Suara Sarawak