Pertandingan Gasing Terbuka Daerah Oya sempena Hari Malaysia

DALAT: Buat julung kalinya satu Pertandingan Gasing Terbuka Daerah Oya anjuran Kelab Gasing Kampung Boom akan diadakan pada 15 hingga 16 September ini di Gelanggang Gasing Kampung Boom Dalat.

Sehubungan itu, Adun Dalat, Datuk Seri Fatimah Abdullah memperuntukkan RM4,000 khas untuk pertandingan yang diadakan bersempena dengan Hari Malaysia pada tahun ini.

Fatimah berkata permainan gasing atau ‘Kikei’ oleh masyarakat tempatan itu dapat menjadi satu wadah dalam menghimpunkan para belia dan dapat mengeratkan hubungan silaturahim bukan sahaja untuk Kampung Boom malah kampung yang ada sekitar.

“Melalui pertandingan ini dapat memberikan manfaat kepada penduduk sekitar dengan nilai perpaduan dapat diterap dan aktiviti ekonomi melalui perniagaan dapat dibuat.

“Saya juga dapat rasakan melalui penganjuran ini ia dapat melahirkan pemimpin terutama melibatkan pimpinan dalam memastikan mana-mana pasukan serta dari pihak urus setia sendiri bagi memastikan berjalan dengan lancar,” katanya berucap dalam Majlis perasmian Pertandingan Gasing Tertutup Kampung Boom Oya Ahad lalu.

Katanya lagi beliau menyokong sepenuhnya usaha mewujudkan pertandingan gasing tersebut bersempena dengan hari Malaysia dan dapat diteruskan menjadi ikon bagi kawasan Oya.

“Mudah-mudahkan program sebegini dapat berterusan dan dapat menjadi satu ikon bagi kawasan kita ini dalam menganjurkan dalam peringkat Daerah dan peringkat seterusnya.

“Dalam pada itu dengan permainan yang dibuat pada Hari Malaysia pada hari itu kita dapat mengingat kembali sejarah pembentukan Malaysia dan kali ini sambutan secara besar-besaran Hari Malaysia akan disambut di Kuching di Padang Merdeka,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama katanya, hasil dari perbincangan semasa sambutan maal hijrah usaha untuk mewujudkan madrasah di kawasan Oya akan diusahakan.

“Adalah menjadi hasrat kita untuk melihat kawasan Oya mempunyai Madarasah, namun terlebih dahulu kita buat secara kecil-kecil terlebih dahulu, apa yang penting ada orang yang nak belajar, oleh itu kita akan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mengatur peruntukan serta teknikal khasnya melalui kebenaran dari pihak pengarah Pendidikan

“Seperti yang kita ketahui bangunan tersebut merupakan dibawah kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pendidikan dan tapak lokasi adalah di bawah pihak kita, jadi kebenaran perlu kita usahakan dari Jabatan Pendidikan,” ujarnya.

Katanya diharapkan semua para pemimpin bersama dengan masyarakat dapat memajukan kampung dengan pelbagai aktiviti untuk kebajikan sosial dan riadah dalam membangunkan modal insan dari segi fizikal, ilmu dan keagamaan, serta semua aspek.