Pertandingan Kucing Comel bakal diadakan di Limbang

LIMBANG: Jawatankuasa Rekreasi Tamu Ria Armada PBB bakal menganjurkan Pertandingan Kucing Comel pada 28 bulan ini bertempat di Lapangan Terbang Lama Limbang.

Menurut Setiausaha Kerja Pemuda PBB Bukit Kota merangkap Setiausaha Kerja penganjuran pertandingan Hikmal Fariatin Mohd Ali Saufi, penganjuran julung kalinya diadakan di Limbang ini bakal menarik lebih dari 40 penyertaan dari dalam mahupun luar.

“Setakat hari ini (24.07.2019) sebanyak tujuh penyertaan sudah memberi pengesahan ikut serta dalam pertandingan tersebut.

“Dijangka penyertaan ini akan terus meningkat disebabkan sudah banyak mereka yang menyatakan minat untuk turut serta,” katanya kepada media hari ini.

Hikmal Fariatin berkata, pertandingan ini diadakan dengan empat kategori merangkumi kucing import, kucing tempatan/kampong dan ‘kitten show’.

“Setiap kategori akan dikenakan yuran pendaftaran sebanyak lima ringgit dan peserta bebas untuk menyertai seberapa banyak kategori yang diingini.

Hadiah terkumpul berjumlah RM2,000 bakal menjadi rebutan para peserta,” ujarnya.

Orang ramai khususnya pencinta kucing turut dialu-alukan bagi memeriahkan lagi pertandingan tersebut.

Beliau berharap pertandingan ini akan menjadi platform khususnya masyarakat Limbang saling bertukar pendapat mengenai penjagaan kucing, penyakit berkaitan kucing di samping memupuk perasaan sayangkan haiwan.