KUCHING: Himpunan pemangkah gasing handalan akan beradu nasib bagi merebut gelaran juara pada Pertandingan Pangkah Gasing Tertutup Kampung Spaoh, Betong yang akan berlangsung pada 11 hingga 13 Mac ini.
Pengerusi Pertandingan, Abang Suhordie Abang Zaini memberitahu, pertandingan selama tiga hari itu akan diadakan di Gelanggang Gasing Kampung Spaoh, Betong.

“Setakat ini 12 pasukan sudah mengesahkan penyertaan mereka.
“Kita percaya jumlah penyertaan akan terus bertambah,” ujar Abang Suhordie kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut beliau lagi, hadiah wang tunai lumayan menanti pasukan yang berjaya muncul juara iaitu RM1,000.
Manakala, naib juara akan menerima RM700 sambil dua pasukan yang tewas diperingkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM500 selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Dalam pada itu, tambah Abang Suhordie, empat pasukan yang tewas diperingkat suku akhir akan menerima wang tunai RM100.