Pertandingan pantun dalam talian

SIBU: Akademi Dayak Iban Sarawak (ASADIA) akan menganjurkan pertandingan Piala Pantun (puisi bersajak Iban) Datuk Amar Douglas Uggah Embas secara dalam talian dari 7 lalu hingga 30 November ini.

Pengerusi ASADIA Mabong Unggang berkata, pertandingan yang dianjurkan bersama WAIfm terbuka kepada individu dan setiap peserta hanya dibenarkan menghantar satu klip video sebagai penyertaan.

Tempoh pantun hendaklah antara empat hingga tujuh minit sahaja. “Pada awal video, mereka mesti menyebut nama penuh, asal, ‘ensumbar’ (nama pujian) jika mereka mempunyai dan isi ringkas pantun mereka,” katanya di sini baru-baru ini.

Mabong mengingatkan para peserta bahawa pantun mereka tidak boleh menyentuh soal politik, bangsa, agama, adat dan tradisi atau sensitiviti orang lain. “Sebarang penyertaan yang melanggar peraturan akan dibatalkan,” katanya sambil menambah peserta boleh mengirimkan penyertaan mulai sekarang.

Video mereka akan dimuat naik ke Facebook Akademi Sadia untuk tontonan pengguna Facebook mulai 1 Disember hingga 12 Disember depan. Pemenang akan diumumkan pada 12 Disember.

Mereka yang mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga masing-masing akan mendapat wang tunai RM500, RM300, RM150 berserta piala dan sijil. Untuk pemenang tempat keempat dan kelima masing-masing akan menerima sagu hati, RM100 dan RM70. Untuk ‘Video Terbaik’, pemenang akan menerima RM150, trofi dan sijil penyertaan.

Terdapat juga hadiah untuk ‘Video Paling Disukai’ oleh pengguna Facebook. Mereka yang berminat untuk menyertainya diminta menghubungi Victoria Jimmy di talian 012-2161485 atau Mabong di 012-6926652 untuk keterangan lebih lanjut.

Suara Sarawak