Trending

Pertanian nadi ekonomi

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

P EMBEKAL utama makanan dan bahan mentah bukan sahaja menyumbang pendapatan negara, tetapi mewujudkan peluang pekerjaan. Itu sebahagian peranan penting sektor pertanian sehingga mendorong kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasakannya agar lebih mampan dan kompetitif sejajar dengan perubahan alaf baharu di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Sehubungan itu, Dasar Agromakanan Negara turut digubal dengan objektif menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan selamat dimakan, menjadikan industri agromakanan sebagai industri yang berdaya saing dan mampan, meningkatkan tahap pendapatan usahawan tani.

Pada masa yang sama, dasar Komoditi Negara 2011-2020 turut menggariskan matlamat, meningkatkan sumbangan industri komoditi kepada ekonomi negara, memoden dan mentransformasi industri komoditi agar berdaya saing dan mampan, menggalakkan pertumbuhan di sepanjang rantaian nilai industri komoditi, meningkatkan pendapatan pengusaha industri komoditi termasuk pekebun kecil selain menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi perladangan dan pemprosesan berasaskan komoditi industri.

Realitinya, bidang pertanian merupakan sumber awal kekuatan tamadun dunia dan bukan punca kemunduran dan kemiskinan. Malah, peranannya menjadi semakin penting terutama ketika sesebuah negara menghadapi masa kritikal seperti krisis kekurangan makanan akibat bencana alam, wabak penyakit, perubahan iklim dan sebagainya.

Umpamanya, negara kita ketika ini terpaksa mengimport bahan makanan untuk keperluan tempatan sehingga mencecah berbilion ringgit. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Malaysia pernah membelanjakan sekitar RM45.4 bilon untuk import makanan. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), import makanan berjumlah RM42.6 bilion, peningkatan mendadak sebanyak RM12.4 bilion berbanding empat tahun sebelum itu yang hanya merekodkan bilangan sebanyak RM30.2 bilion pada 2014.

Menyedari hakikat itu, pelbagai pendekatan dilakukan untuk memodenkan pertanian melalui penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti, selain memperkukuh rangkaian bekalan. Di Sarawak umpamanya, kerajaan menyasarkan pembangunan kawasan seluas kira-kira dua juta hektar tanah bagi pelbagai aktiviti pertanian, terutama dalam penanaman tanaman makanan.

Pada masa yang sama, lebih banyak Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) akan ditubuhkan manakala penyelidikan dan pembangunan dijalankan secara meluas manakala modal untuk usahawan agropertanian turut disalurkan.

Golongan petani dan pengiat industri kecil menarik nafas lega apabila Kerajaan Sarawak meneruskan bantuan Program Tabung Fasilitasi Pertanian (AFF) yang dilihat mampu membantu mereka untuk terus menjana pendapatan. Ada yang menyifatkan bantuan itu memberi nafas tambahan buat pemain industri kecil yang terpaksa melalui detik sukar akibat penularan wabak Covid-19.

Penerima mengakui pakej bantuan yang disediakan kerajaan melalui Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah (MANRED) itu melegakan mereka selepas menempuh fasa yang amat mencabar ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di bawah AFF, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sekitar RM1 juta untuk membiayai pelbagai inisiatif, penyediaan peralatan, sokongan infrastruktur dan aktiviti berkaitan pertanian yang lain.

Selain membantu golongan sasar, bantuan juga bertujuan menyediakan dana fasiliti sebagai insentif kepada pengusaha luar bandar, pengusaha kecil dan petani kerana penglibatan aktif mereka dalam bidang berkenaan. Persoalannya mampukah kita mencapai tahap keberdikari dalam bekalan makanan pada masa depan? Penglibatan belia Sarawak misalnya masih rendah apabila hanya 12 peratus belia terlibat dalam sektor berkenaan.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru