Perubahan kepimpinan rahsia kejayaan Sabah

KOTA KINABALU:  Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perubahan pucuk pimpinan dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) adalah rahsia utama kejayaan pasukan Sabah menjuarai Liga Premier musim ini, sekali gus menamatkan kemarau 23 tahun tanpa trofi.

Beliau berkata komitmen yang tinggi ditunjukkan oleh seluruh pihak pengurusan SAFA khususnya Pemangku Presidennya Datuk Peter Anthony sejak kira-kira tujuh bulan lepas telah terbukti dan ia adalah hasil kerjasama semua pemain dan pihak pengurusan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada seluruh pengurusan SAFA terutamanya kepada Peter kerana berjaya menjulang trofi Liga Premier musim ini dan berjaya ke Liga Super pada musim akan datang.

“Oleh itu saya harap prestasi pasukan dapat dikekalkan untuk menghadapi Piala Malaysia dan Liga Super pada musim akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan trofi kejuaraan Liga Premier 2019, di Stadium Likas malam kelmarin.

Turut hadir Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin serta beberapa barisan pimpinan Kabinet negeri.

Ditanya mengenai habuan atau ganjaran yang bakal diterima oleh pemain Sabah setelah berjaya menjuarai Liga Premier musim ini, Mohd Shafie berkata perkara itu sudah dibincangkan, namun ia akan diputuskan kemudian.

“Apa yang penting adalah bukan ganjaran…namun kita mahu lihat pemain terus bersemangat untuk bermain kerana kita mahu menghasilkan lebih banyak pemain profesional di Sabah sehingga mewakili negara ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Terdahulu, Stadium Likas bergema kembali dengan sorakan kejuaraan lebih 10,000 penyokong pasukan bola sepak Sabah selepas menyaksikan Piala Liga Perdana dijulang malam ini.

Kejayaan tersebut lebih manis apabila skuad Tambadau menunjukkan aksi cemerlang dengan mengalahkan Kelantan dengan jaringan 1-0.

Kali terakhir Sabah memenangi kejuaraan dalam Liga Malaysia ialah pada tahun 1996, manakala kejuaraan musim ini yang telah disahkan apabila Sabah berjaya menundukkan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam, Rabu lalu dan kemenangan itu menyaksikan skuad Sabah mengumpul 40 mata selepas 18 perlawanan, tujuh mata mengatasi Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di kedudukan kedua.