ARTIKEL

Sharifah Hasidah ditemu bual media selepas menyempurnakan Program Jom Baca Bersama 10 Minit di Pustaka Negeri Sarawak.

Perubahan nama Dewan Undangan Sarawak bertepatan, Sarawak diiktiraf sebagai wilayah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perubahan nama Dewan Undangan Negeri Sarawak kepada Dewan Undangan Sarawak adalah bertepatan kerana Sarawak telah diiktiraf sebagai sebuah wilayah.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, perubahan tersebut selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta pengiktirafan Sarawak sebagai wilayah sebelum ini.

“Jadi bertepatanlah untuk kita sebut Dewan Undangan Sarawak, bukan Dewan Undangan Negeri.

“Ini selari, bertepatan sekali dengan MA63 kerana kita merupakan wilayah, bukan negeri,” katanya ditemu bual media selepas menyempurnakan Program Jom Baca Bersama 10 Minit di Pustaka Negeri Sarawak, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai hantaran Facebook Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, baru-baru ini.

Kui Hian dalam hantaran itu berkata, Dewan Undangan Negeri Sarawak kini dikenali sebagai Dewan Undangan Sarawak.

Katanya, inilah masanya untuk semua penduduk Sarawak menyokong perubahan kecil namun signifikan ini.

Tambahnya, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengiktiraf status Sarawak sebagai wilayah.

“Marilah kita menjadi konsisten dan bermula dengan kita (penduduk Sarawak) tidak memanggil Sarawak sebagai ‘negeri’.

“Jadi (istilah yang tepat) adalah kerajaan Sarawak, bukannya kerajaan negeri Sarawak,” katanya.

Ditanya mengenai pindaan Perlembagaan Malaysia mahupun Perlembagaan Sarawak untuk mengugurkan perkataan negeri, Hasidah berkata, perkara tersebut perlu diteliti terlebih dahulu sebelum apa-apa pindaan mahupun pembaharuan dilakukan.

“Dari apa-apa sudut undang-undang pun kita akan membuat porfolio, menilai apa yang patut kita laksanakan.

“Kita buat pindaan, kita perbaharui undang-undang, kita kemas kini undang-undang kita, memang proses ini berterusan kita laksanakan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU