ARTIKEL

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Ahli Parlimen Tambun semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini. Turut kelihatan, dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto: BERNAMA

Peruntukan Ahli Parlimen Pembangkang perlu dirunding melalui wakil, bukan berasingan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang perlu dirunding wakil yang dipilih, bukan secara berasingan oleh setiap Ahli Parlimen Pembangkang.

Beliau sendiri mempersoalkan mengapa proses berkenaan menjadi sebegitu rumit, sedangkan telah berulang kali dinyatakan bahawa kerajaan sedia memberi peruntukan, namun ia harus dilakukan mengikut amalan negara demokrasi.

“Pembangkang, mulai dari Ketua Pembangkang, wakil-wakil parti, harus tetapkan wakil, berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri II (Datuk Seri Fadillah Yusof) yang kita tugaskan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang mahu tahu tentang peruntukan bagi Ahli Parlimen Pembangkang selepas beliau secara peribadi telah berunding dengan Fadillah, namun masih perlu menunggu kata putus Kabinet dan Perdana Menteri.

Anwar berkata proses berkenaan sama seperti dilakukan sebelum ini semasa Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjadi Perdana Menteri, dan pihak kerajaan kini ketika itu berada di blok pembangkang.
 
“Kita lakukan seperti mana kita lakukan dahulu, daripada awal, maknanya parameter dijelaskan dulu, sebenarnya tidak susah pun.

“Saya pun (pernah) jadi Ketua Pembangkang, masa tu kuat juga (blok pembangkang), jumlahnya lebih kuat, tapi masa itu tak ada rasa rendah diri, atau kompleks untuk jumpa Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, bincang dan menugaskan masa itu lima dari pembangkang dan lima dari kerajaan,” katanya.

“Jadi rundinglah, saya tak faham kenapa proses ini jadi rumit, tetap tarikh, runding, dan syarat-syarat yang dikatakan, syarat-syarat dalam proses biasa, dalam mana-mana negara demokrasi, perjalanan, tentang dasar utama, dan kemudian kalau pun tak bersetuju patah balik,” kata Anwar.

Perdana Menteri turut menasihatkan supaya ia disegerakan bagi membolehkan satu keputusan dimuktamadkan antara kedua-dua pihak.

“Jadi saya menyeru Pendang (Datuk Awang Hashim) sampaikan kepada semua wakil-wakil parti, segerakan perbincangan supaya hal ini tidak lagi jadi isu yang memanaskan suhu di Dewan ini.

“Tak payah berlari, berjoging, bincang sahaja – selesai,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung perkara sama.

Anwar juga menegaskan bahawa tiada syarat yang diletakkan dalam rundingan itu yang memerlukan Ahli Parlimen Pembangkang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri bagi mendapatkan peruntukan. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU