ARTIKEL

Peruntukan bagi wakil rakyat pembangkang raikan prinsip demokrasi matang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Usaha merangka draf Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mempertimbangkan penyaluran peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang diyakini dapat menstabilkan suhu politik negara.

Penganalisis Sosiologi Politik Dr Novel Lyndon berkata dengan adanya peruntukan ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu Pusat Khidmat Ahli Parlimen pembangkang beroperasi dengan baik untuk membantu rakyat.

“Kerjasama tersebut sangat signifikan kerana memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira latar belakang politik selain bagi meraikan prinsip demokrasi yang matang,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perancangan Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbang penyaluran peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang dan kini dalam proses merangka satu MOU.

Pada masa sama katanya, pemerincian peruntukan tersebut perlu lebih menyeluruh dan bersifat komprehensif bagi memastikan peruntukan digunakan untuk membantu rakyat dan melancarkan proses perkhidmatan yang disediakan oleh pusat khidmat.

“MOU ini turut membuktikan kerajaan bersedia untuk berunding dan mendengar isu-isu rakyat yang diutarakan oleh ahli Parlimen daripada pihak pembangkang. 

“Ini juga akan menaikkan imej Kerajaan Persekutuan selari dengan slogan MADANI iaitu satu slogan yang bersifat inklusif dan merentasi wilayah dan jalur politik,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, beliau menjangkakan inti pati MOU lebih kurang sama dengan intipati MOU yang ditandatangani semasa pentadbiran Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri. 

Meskipun ada beberapa perkara yang perlu dirunding, diteliti dan disepakati secara bersama, Novel berkata MOU yang hendak dimeterai perlu ada beberapa perkara yang dipersetujui kedua belah pihak dan bersifat menang-menang.

Di samping itu, beliau berharap agar MOU itu tidak akan menidakkan peranan pembangkang dalam memainkan peranan sebagai semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen.

“Ini kerana pembangkang harus mengekalkan peranan sebagai pihak semak dan imbang dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jaga manah ‘Kumang Menua’ kitai

KUMANG ba budaya kitai Iban chukup besai bendar reti lalu nya ngenang pemajik, pemintar, pemanah budi basa enggau status siku indu dara. Nya alai, ukai