DEBAK: Lebih banyak lagi bagus, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berhubung peruntukan Sarawak dalam Bajet 2023 Kerajaan Persekutuan yang dibentangkan, baru-baru ini.
Katanya, agihan peruntukan kepada Sarawak tidak memuaskan hati.
“Sudah tentu kita tidak berpuas hati, lebih banyak lagi baik memandangkan kita meletakkan harapan yang sangat tinggi.
“Bagaimanapun buat masa ini, kita terima apa yang diberikan. Gembira atau tidak, itu isu lain.

“Sehubungan itu, Kerajaan Sarawak akan terus berbincang dengan Kerajaan Persekutuan bagaimana untuk menambah baik peruntukan kepada wilayah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula SK Nanga Gayau di sini, hari ini.
Jelasnya, peruntukan besar penting terutama sekali untuk isu seperti kemiskinan. Untuk Sarawak mencapai negeri maju, rakyat perlu bersama-sama dalam meningkatkan pendapatan.
Tambah Uggah, terdapat keutamaan untuk Sarawak menghubungkan rakyatnya secara keseluruhan termasuk di luar bandar dan pedalaman.