Peruntukan pembangunan RM5.1 bilion bagi Sabah, RM4.5 bilion Sarawak dalam Bajet 2021

KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak masing-masing akan menerima perbelanjaan pembangunan RM5.1 bilion dan RM4.5 bilion bagi tahun depan, demikian peruntukan Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata peruntukan itu antaranya adalah untuk membina dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kemudahan kesihatan dan pendidikan.

Bertema ‘Teguh Kita Menang Bersama’, Belanjawan 2021 itu dirangka berdasarkan tiga matlamat induk berkenaan iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi, mengambil kira perkembangan semasa pandemik COVID-19 dan kesannya kepada rakyat dan negara.

Disifatkan sebagai ‘belanjawan pengembangan’, Tengku Zafrul hari ini membentangkan belanjawan yang memperuntukan jumlah terbesar dalam sejarah bernilai RM322.5 bilion, iaitu RM236.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM69 bilion perbelanjaan pembangunan dan RM17 bilion di bawah Kumpulan Wang COVID-19.

Bagi memastikan matlamat ‘Kesejahteraan Rakyat’ dimanifestasikan secara holistik menerusi langkah meringankan beban hidup rakyat, beliau berkata kerajaan akan menaikan peruntukan subsidi, bantuan dan insentif, bagi Sabah dan Sarawak daripada RM150 juta kepada RM200 juta bagi melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming, termasuk meluaskan pelaksanaannya ke 34 kawasan baharu, antaranya di Pulau Sakar di Sabah dan Ulu Mujok di Sarawak.

“Melalui inisiatif ini barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, gas LPG, petrol RON95 dan diesel dapat dinikmati lebih 1.1 juta rakyat pada harga dikawal,” katanya.

Menerusi langkah bantuan kepada petani, peladang dan nelayan, beliau berkata lebih 300,000 pesawah di seluruh negara termasuk penanam padi di Nabawan, Sabah dan Kanowit Sarawak, akan menikmati bantuan sejumlah RM570 juta subsidi harga padi, RM960 juta (subsidi dan insentif tanaman padi) termasuk RM40 juta subsidi baja padi bukit.

Bagi memperkasakan program pembangunan komuniti di kedua-dua negeri di kepulauan Borneo, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM41 juta diperuntukan bagi program ‘Native Customary Rights’ di Sabah dan Sarawak.

Menyatakan bahawa kerajaan akan meneruskan usaha mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar, beliau berkata sejumlah RM 2.7 bilion disalurkan bagi melaksanakan pelbagai program dan projek penambahbaikkan infrastruktur luar bandar meliputi projek jalan, bekalan air, elektrik, program bantuan rumah, pemasangan dan penyelenggaraan lampu.

Katanya kerajaan akan memperluas perkhidmatan bank bergerak di Sabah dan Sarawak bagi membantu masyarakat yang sukar mendapat akses perbankan asas, seperti pemindahan wang, pembayaran bil dan kemudahan mengeluarkan wang bantuan kerajaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Memperincikan strategi menjamin kesejahteraan hidup rakyat, Tengku Zafrul berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan penaiktarafan jaringan telekomunikasi, yang kini dianggap sebagai utiliti ketiga.

Katanya kerajaan akan memperuntukan RM500 juta bagi melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara, JENDELA, yang bertujuan memastikan kesalinghubungan 430 buah sekolah di seluruh negara dan RM7.4 bilion bagi tahun 2021 dan 2022, untuk memperluas perkhidmatan jalur lebar.

Menegaskan bahawa pendidikan ialah pelaburan penting dalam memastikan kualiti kehidupan lebih baik untuk generasi akan datang, Menteri Kewangan itu berkata Kementerian Pendidikan masih terus menerima peruntukan terbesar berjumlah RM50.4 bilion.

Antara peruntukan khusus melibatkan Sabah dan Sarawak, beliau berkata kerajaan akan melaksanakan 184 projek pembinaan dan pemasangan air telaga tiub baharu dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM 120 juta bagi sekolah luar bandar di kedua-dua negeri itu.

Bagi kemudahan pengangkutan awam, Tengku Zafrul berkata kerajaan memperkenalkan pas perjalanan bulanan tanpa had pada harga RM5 sebulan bagi murid sekolah Tahun 1 hingga pelajar Tingkatan 6, serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membolehkan mereka menggunakan pas perkhidmatan tren Sabah, jajaran Beaufort-Tenom.

Katanya Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti, akan diperluas secara berfasa ke Kuching, Kota Kinabalu, Johor Bahru dan Kuantan, dengan peruntukan RM150 juta.

Menyentuh tentang kelangsungan industri pelancongan, Menteri Kewangan itu berkata peruntukan RM20 juta disediakan menambah infrastruktur dan mempergiat promosi Kampung-kampung Budaya termasuk di Sarawak.

Satu Geran Khas Prihatin sebanyak RM1,000 pula diberi kepada peniaga dan penjaja serta pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong di Sabah.

Bagi meningkatan kemudahsampaian rakyat, Tengku Zafrul berkata RM15 bilion disediakan bagi membiayai pembangunan infrastruktur pengangkutan di seluruh negara termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo.

Dalam memastikan keseimbangan pembangunan antara wilayah, kerajaan memperuntukan RM780 juta bagi lima koridor wilayah pembangunan ekonomi, yang turut melibatkan projek infrastruktur di Kawasan Perindustrian Samalaju, Sarawak di bawah SCORE dan penyambungan projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Sepanggar Bay di Sabah di bawah SDC.– BERNAMA

Suara Sarawak