MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menjelaskan sepatutnya lebih banyak peruntukan disalurkan kepada Sarawak untuk penyelenggaraan dan menaik taraf sekolah daif di negeri ini. Beliau kecewa dengan peruntukan yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2020 di Parlimen Jumaat lalu.

Menurut Guan Eng, kerajaan akan memberi tumpuan terhadap usaha membaik pulih sekolah daif dengan peruntukan RM735 juta pada 2020, terutama di Sabah dan Sarawak.

Abang Johari menjelaskan: “Peruntukan ini untuk seluruh negara, saya mengharapkan lebih banyak daripada jumlah yang diumumkan.” Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Negeri Sarawak oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud di sini pada Sabtu.

Ditanya sama ada Sarawak akan memohon program subsidi petrol untuk B40 bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, Abang Johari berkata ia terserah kepada Kerajaan Persekutuan.

“Kita tidak dapat mengharapkan sepenuhnya daripada mereka (Kerajaan Persekutuan). Mereka cakap mereka menghadapi masalah kewangan, jadi kita tidak berharap,” tegasnya.

Dalam Belanjawan 2020, secara keseluruhan Sarawak menerima peruntukan RM4.4 bilion, manakala Sabah RM5.1 bilion. Dana keseluruhan adalah RM55 bilion. Sarawak dan Sabah hanya menerima 19.6 peratus (RM9.5 bilion) daripada dana tersebut.

Suara Sarawak