ARTIKEL

PERUNTUKAN UNTUK MP PEMBANGKANG: MOU FOKUS PEMBANGUNAN, EKONOMI DEMI KEBAJIKAN RAKYAT

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Draf  Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang yang dirangka, memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata draf MoU yang dirangka itu, diberikan kepada pembangkang untuk dinilai sama ada terdapat keperluan untuk perbincangan lanjut.

Ditanya tempoh draf MoU itu disiapkan, Fadilah berkata, “tidak ada tempoh masa, tapi secepat mungkin kita usahakan.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka di Kompleks Sri Satria yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya inti pati MoU itu, Fadillah enggan mengulas terperinci agar ia tidak mencetus andaian mana-mana pihak.

“Tak bolehlah, nanti benda-benda yang orang kata jadi andaian, benda yang belum dipersetujui. Apabila kerangka sudah ada, dimuktamad, kita boleh kongsi,” katanya.

Ditanya adakah isu MoU itu dijadikan modal Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Fadillah berkata, pembangkang tetap membangkitkan pelbagai isu tanpa mengambil kira usaha kerajaan.

“Yang penting ialah keikhlasan kita mempertimbang dan secara prinsip sudah dipersetujui.
“Jadi sekarang ini untuk kita rangkakan MoU supaya akan ada agenda bersama dalam membangunkan negara, memulihkan ekonomi dan penting kesejahteraan rakyat terbela dari segi kestabilan dan keamanan. Itu amat penting,” katanya.

Diminta mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tidak perlu MoU jika Kerajaan Perpaduan ikhlas memberi peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, Fadillah enggan memberikan sebarang kenyataan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan apa-apa yang dilaksanakan kerajaan ialah kaedah MoU kerana kerajaan terdahulu juga pernah memeterai perjanjian bagi menyalurkan peruntukan.

“Dahulu pun ada perjanjian, apabila ada perjanjian baru ada peruntukan. Sekarang ini MoU nak dilaksanakan, kalau ikutkan tak perlu pun, kerajaan sudah ada dua pertiga, tetapi mengapa perlukan lagi perjanjian,” katanya.

Pada 18 April, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan bagi menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.
Bernama

BERITA LAIN

Polis buru 10 ahli kumpulan jenayah terancang

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan 10 individu disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah di sekitar Selangor. Pengarah Jabatan Siasatan

BERITA TERBARU

Penyulut SPM meri pengaga ngagai semua

KUCHING: Bulih pemutus peresa nyulut ba Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 ukai penyulut siku orang aja tang nya penyulut semua raban. Nembiak Sekula Sekondari (SMK)