Pesakit disembunyikan

BINTULU: Usaha menjejak pekerja loji kuasa warga China yang disyaki dijangkiti novel koronavirus di Hospital Bintulu menemui jalan buntu.

Suara Sarawak menjelajah seluruh blok dan unit wad hospital terbabit dalam usaha untuk mendapatkan gambaran situasi di hospital, namun hampa.

Keadaan di pekarangan, lobi termasuk Unit Kecemasan Hospital Bintulu juga masih seperti biasa.

Tiada kelihatan orang awam memakai penutup mulut dan hidung mahupun kakitangan hospital memakai sut keselamatan jika berlaku atau terdapat sebarang kecemasan melibatkan kes berjangkit atau sebagainya.

Pihak hospital nyata berusaha keras menutup atau menyembunyikan pesakit tersebut daripada dihidu orang awam lebih-lebih lagi media.

Malah, pelawat juga tidak dibenarkan melawat ahli keluarga dan hanya dibenarkan berbuat demikian mengikut jadual lawatan yang tertera di pintu masuk utama wad.

Sebelum ini, Suara Sarawak difahamkan pelawat boleh melawat ahli keluarga mereka tanpa pengawasan atau kawalan ketat.

Namun, hari ini (semalam), larangan ketat dikenakan dengan pelawat hanya dibenarkan berbuat demikian apabila masa melawat tiba.

Berdasarkan temu bual Suara Sarawak dengan salah seorang ahli keluarga pesakit yang enggan namanya didedahkan memberitahu, larangan itu hanya berkuat kuasa semalam.

Perkara itu menimbulkan ketidakpuasan hatinya memandangkan Ahad lalu, dia ulang alik melawat bapanya yang sudah lama dirawat di wad perubatan lelaki tanpa sebarang sekatan mahupun kawalan.

“Mungkin ada perkara yang berlaku dan cuba disembunyikan. Kita tidak tahu,” katanya.

Suara Sarawak