
KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan sepuluh sebatan oleh Mahkamah Sesyen kerana memiliki 38.06 gram syabu.
Tertuduh Christopher Rody Sunyi, 28, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman, di sini, hari ini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki dadah terlarang itu di sebuah pondok kebun di Kampung Bogag, Bau, kira-kira jam 7 pagi, 22 Jun lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) Seksyen yang sama, dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau penjara minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebat tidak kurang daripada sepuluh sebatan.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, pihak polis telah melakukan satu serbuan di sebuah pondok kebun di Kampung Bogag kerana dipercayai terdapat kegiatan dadah.
Hasil serbuan, pihak polis berjaya menahan tertuduh yang cuba melarikan diri.
Semasa sebutan, tertuduh merayu agar diringankan hukuman kerana dia mempunyai masalah kesihatan iaitu pesakit HIV positif dan Tuberkulosis selain kesalahan tersebut merupakan kali pertama dilakukan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.