Pesakit mental perlukan sokongan

PENYAKIT mental dalam kalangan masyarakat sekarang ini harus dipandang serius.

Ia sering kali dikaitkan dengan perkataan “gila” atau tidak waras.

Yang pasti, pelbagai faktor yang menyebabkan wujudnya penyakit mental ini.

Antaranya ialah, yang berkaitan dengan masalah, tekanan kerja, keluarga bermasalah dan tekanan persekitaran.

Penyakit ini tidak sewajarnya disalah anggap, yakni sebagai gila semata-mata, sebaliknya kita perlu tampil membantu golongan ini, agar mereka tidak terus tersisih daripada masyarakat.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan mental merujuk kepada satu keadaan yang sejahtera, iaitu seseorang boleh menyedari tentang keupayaan diri, dapat mengendalikan tekanan normal kehidupan dengan baik, bekerja secara produktif serta mampu menyumbang kepada masyarakat.

Kesihatan mental juga adalah satu fenomena kompleks yang meliputi pelbagai faktor sosial, persekitaran, biologi dan psikologi.

Dasar Kesihatan Mental Kebangsaan Malaysia turut menyatakan kesihatan mental adalah kemampuan individu, kelompok dan persekitaran untuk berinteraksi dengan individu lain, dengan menggunakan cara pemikiran, perasaan, dan keupayaan berkomunikasi bagi mencapai kesejahteraan hidup yang saksama.

Secara umumnya sering terdapat salah faham antara konsep kesihatan mental dengan masalah mental.

Seorang yang normal kemungkinan tidak mempunyai kesihatan mental yang baik setiap masa, namun masih boleh mengatasi tekanan dengan baik serta masih boleh menjalani kehidupan seharian.

Sihat dari segi mental membolehkan seseorang itu berfungsi secara efektif, mampu menyesuaikan diri ketika menghadapi tekanan dan masih mampu bekerja, mengurus diri serta bersosial dengan masyarakat.

Ia sekali gus memberi gambaran jika mental seseorang itu terjejas ia bukan sahaja memberi impak kepada pemikiran, namun turut menjejaskan keadaan fizikal.

Penyakit mental merupakan gangguan otak yang menyebabkan penghidapnya mengalami keanehan atau gangguan pemikiran dan tingkah laku, namun ia berpunca daripada otak, bukannya minda.

Ini menunjukkan penyakit mental mengganggu psikologi serta cara pemikiran individu tersebut, sekali gus mempengaruhi tindakan.

Terdapat beberapa jenis penyakit mental dan salah satunya ialah penyakit skizofrenia.

Ia adalah salah satu daripada penyakit mental yang dianggap sebagai penyakit mental kronik kerana penghidapnya tidak mampu membezakan yang nyata dengan khayalan serta kemampuan mereka berfikir, mengingat, memahami permasalahan tertentu.

Mereka juga gagal mengawal emosi dengan baik serta memberi impak kepada kehidupan seharian mereka dan memerlukan pengawasan serta penjagaan dari penjaga

Terdapat tiga gejala utama pada individu yang menghidap skizofrenia iaitu gejala positif, gejala negatif dan gejala kognitif.

Gejala positif ataupun psikotik ialah individu tersebut mengalami delusi dan halusinasi.

Sokongan sosial keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling akan mempengaruhi mental individu tersebut dalam menghadapi tekanan kerana mereka boleh berkongsi kesedihan dan masalah.

Malah keluarga memainkan peranan penting dalam menyokong interaksi sosial antara pesakit skizofrenia dengan masyarakat dalam usaha membantu individu meningkatkan hubungan sosial.

Namun, kita juga tahu bahawa sesetengah penjaga atau keluarga pesakit mental dibelenggu oleh masalah kewangan kerana keluarga perlu menanggung rawatan bagi ubat-ubatan kepada pesakit mental yang melebihi keperluan asas keluarga tersebut.

Maka, status ekonomi turut mempengaruhi status kesihatan seseorang individu kerana penghidap skizofrenia akan mengalami kesukaran dalam pekerjaan kerana kehilangan fungsi.

Di hospital mental awam di Malaysia, terdapat tiga bentuk perkhidmatan yang diberikan oleh pekerja sosial perubatan iaitu bantuan fizikal, emosi dan advokasi untuk membantu meringankan bebanan pesakit.

Bantuan emosi pula berbentuk kaunseling dan khidmat nasihat kepada pesakit serta keluarga.

Bagi memastikan keadaan pesakit skizofrenia sentiasa stabil, mereka perlu mendapatkan sokongan keluarga serta orang sekeliling serta intervensi psikososial.

Pesakit skizofrenia memerlukan bimbingan dari segi sosial, sokongan ekonomi dan emosi serta sokongan kewangan untuk terus mendapatkan rawatan dan kebajikan seperti intervensi psikososial yang disediakan oleh hospital di negara ini.

Intervensi ini juga sangat membantu pesakit skizofrenia dalam memberikan sokongan serta dorongan dari segi emosi pesakit melalui khidmat nasihat serta motivasi supaya mereka tidak berputus asa.

Hasil kajian mendapati pesakit skizofrenia memerlukan intervensi psikososial bagi mengembalikan kefungsian mereka dalam kehidupan seharian untuk berdikari.

Mereka perlu diberikan sokongan dan bimbingan sama ada daripada keluarga, institusi kesihatan mahupun masyarakat.