Pesara diberkas jual loteri tanpa lesen di Bau

KUCHING: Seorang pesara tentera diberkas setelah disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan loteri awam tanpa lesen di Kampung Sungai Pinang, Bau, semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata suspek, seorang lelaki berumur 68 tahun ditahan ketika sedang menjalani aktiviti berkenaan di sebuah rumah tidak bernombor pada pukul 6 petang.

Menurutnya, tangkapan dilakukan hasil serbuan sepasukan Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan di lapangan menemui empat keping kertas putih bercetak angka dan sejumlah wang tunai dipercayai barangan kes,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua barangan tersebut seterusnya dirampas bagi siasatan lanjut.

Poge berkata, hasil semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Ujarnya, kes diklasifikasikan di bawah 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak kurang RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, tambahnya lagi.

Suara Sarawak