KUCHING: Seorang pesara jurutera operasi luar pesisir rugi sekitar RM200,000 setelah terjerat dalam penipuan dalam talian (scam) pada Rabu lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa yang berusia lewat 60-an itu telah membuat 10 transaksi ke lima akaun bank berbeza secara beperingkat dalam tempoh pertengahan sehingga hujang bulan Ogos lalu.
Menurutnya lagi, mangsa menyedari bahawa dirinya ditipu setelah menceritakan perkara sebenar kepada isteri.
“Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak menerima laporan berkenaan kes tersebut setelah mangsa tampil untuk membuat siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Berdasarkan laporan yang diterima, mangsa menerima satu panggilan daripada individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Asisten Komisioner Polis Datuk Fikti Mokhtar dalam kejadian yang berlaku pada 17 Ogos lalu.
Mangsa didakwa telah menerima komisen wang berjumlah RM210,000 menerusi kegiatan jenayah iaitu pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.
Untuk itu, suspek mengarahkan mangsa untuk memindahkan semua wang yang ada dalam akaun bank miliknya ke dalam akaun bank pihak ketiga yang diberikan untuk tujuan pemeriksaan audit Bank Negara.
Akibat panik dan cemas atas tuduhan tersebut, mangsa menuruti arahan tersebut lalu menjurus kepada kerugian wang berikut.
Sehubungan itu, Mohd Azman menasihatkan orang ramai agar tidak melayani panggilan telefon yang mencurigakan.