MUKAH: Jalur pesisir Mukah sepanjang kira-kira 200 kilometer yang kaya dengan kawasan paya gambut dan hutan bakau berpotensi memperoleh nilai ekonomi menerusi perdagangan karbon, selain memainkan peranan penting sebagai penyerap karbon semula jadi dalam usaha menangani perubahan iklim.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kelebihan semula jadi itu membuka peluang baharu kepada Mukah dan Sarawak secara keseluruhan ketika perdagangan karbon berkembang sebagai satu daripada aktiviti ekonomi baharu dunia.
Menurutnya, Mukah berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan sumber semula jadinya susulan kewujudan kawasan paya gambut dan hutan bakau yang luas di sepanjang pesisir dari Kuala Rajang.
“Orang di tempat lain berdepan masalah dan kita boleh membantu mereka menanganinya. Mereka melepaskan karbon, manakala kita mempunyai kawasan paya gambut dan bakau yang menyerap karbon tiga kali lebih banyak daripada pokok.
“Ini, sekali gus membolehkan Sarawak membantu tempat atau negara lain mengimbangi tahap pelepasan karbon yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Mukah, di sini, malam tadi.
Ujarnya, kesan perubahan iklim dunia kini semakin jelas dengan pelbagai bencana berlaku, termasuk kejadian banjir di Nepal dan India serta cuaca panas melampau di Eropah yang berkait rapat dengan peningkatan pelepasan karbon dan pemanasan global.

Tambahnya, perkembangan itu memberi peluang kepada Sarawak untuk menjana nilai ekonomi daripada hutan, paya gambut dan bakau, pada masa sama menyumbang kepada usaha mengurangkan pelepasan karbon di peringkat global.
“Ini bermakna pendekatan ekonomi kita juga perlu berubah. Kita perlu menjaga dan mengurus kekayaan semula jadi yang ada kerana sekarang sudah wujud satu lagi bentuk kegiatan ekonomi, iaitu perdagangan karbon.
“Mereka yang menyimpan karbon boleh dibayar berdasarkan bagaimana karbon itu disimpan,” ujarnya.
Jelasnya, Sarawak juga telah membangunkan kerangka perundangan sendiri berkaitan pengurusan karbon, yang antara lain mengiktiraf perdagangan serta pengeluaran unit kredit karbon daripada aktiviti seperti penyimpanan dan projek pengurangan pelepasan karbon.
“Sarawak merupakan negeri terawal di Malaysia membangunkan kerangka perundangan berkaitan, dengan Kerajaan Persekutuan turut bersetuju mengharmonikan cadangan undang-undang nasional dengan kerangka Sarawak.
“Penyelarasan perundangan berkenaan penting supaya Sarawak dapat mengurus sumber karbon secara teratur serta memperoleh manfaat ekonomi daripadanya apabila pasaran karbon global terus berkembang,” katanya lagi.
Justeru katanya, kewujudan kawasan paya gambut dan bakau yang luas di Mukah perlu dilihat bukan sahaja sebagai khazanah alam sekitar yang perlu dipelihara, tetapi juga sebagai aset ekonomi berpotensi tinggi dalam ekonomi karbon masa depan.



