Pesona Afieka Ratu Pesta Nanas 2019

SARIKEI: Jururawat Hospital Pakar KPJ Sibu, Afieka Afierah Suhailie, 23, dimahkotakan sebagai ratu cantik Pesta Nanas selepas mengenepikan cabaran pesta lain dalam saringan akhir acara itu di sini, semalam.

Kemenangan itu, membolehkannya membawa pulang wang tunai RM1,000, tropi dan beberapa hadiah iringan. Sebelum ini, Afieka yang berasal dari Bintangor pernah memenangi Best Catwalk bagi kategori Kebaya Nyonya.

“Saya akui pada mulanya agak gementar kerana kesemua peserta hebat belaka. Malah, mereka juga memiliki kelebihan yang tersendiri. Begitupun, saya amat gembira, bersyukur dan terharu serta tidak menyangka dapat menjuarai pertandingan ini,” katanya kepada Suara Sarawak.

Tempat kedua disandang Natasha Lulong Peter, 21 yang memperagakan pakaian bertema ilustrasi kegelapan. Kerani syarikat swasta dari Sibu ini mememangi wang tunai RM700 dan piala.

Dalam pertandingan sebelum ini, Natasha pernah memenangi Personaliti Terbaik.

Afieka (tengah) diapit Natasha (kanan) dan Nazwa (kiri) selepas menerima hadiah kemenangan masing-masing. Kelihatan sama, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab dan tetamu jemputan yang lain.

Tempat ketiga yang menawarkan hadiah wang tunai RM500 menjadi milik Nazwa Omar, yang berasal dari Sibu.

Ketika ditemui Nazwa menyifatkan kemenangan itu sangat bermakna kerana fesyen yang diperagakannya hasil ciptaan sendiri.

Peserta lain yang menyertai pertandingan itu ialah, Alyenn Beth Micheal, Sucyliana Samuel, Amira Sekedar, Amalina Liyana Abdullah, Izza Quraini Rafaie, Siti Nurul Mira Fahana Jahili,Megawati Wira dan Anatasha Helena.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab.

Hadir sama, Residen Sarikei, Felicia Tan dan Timbalan Residen, Abang Porkan Abang Budiman.