ARTIKEL

Pesona magis Kala Murai Berkicau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Judul: Kala Murai Berkicau

Penulis: Nurimas SN

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun terbit: 2026

Jumlah muka surat: 100 Harga: RM 16.00

S ekilas pandang, kulit buku Kala Murai Berkicau karya Nurimas SN mampu menambat hati, bagai pesona bunga yang mengundang sesiapa sahaja untuk mendekati.

Sentuhan visual yang memikat bukan sekadar menghiasi kulit buku, malah membangkitkan rasa ingin tahu untuk menyelami kisah yang tersimpan pada setiap helaian.

Nurimas SN, nama yang tidak asing dalam dunia penulisan, tampil menerusi Kala Murai Berkicau, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagai karya yang menganyam benang kehidupan melalui untaian kata yang indah.

Seperti kicauan murai yang menyampaikan cerita daripada rimbunan pengalaman, karya ini menyentuh pelbagai sisi kehidupan dan jiwa manusia dengan penuh kelembutan.

Setiap halaman membawa pembaca menyusuri lorong emosi, mengenali makna kasih sayang, ketabahan dan perjalanan hidup yang sarat dengan pengajaran.

Begitulah yang dapat dirasai apabila menelusuri Kala Murai Berkicau, sebuah kumpulan puisi yang mempersembahkan karya yang bukan sekadar indah dari segi bahasa, malah sarat dengan renungan tentang kehidupan.

Keistimewaan buku ini terserlah melalui pembahagian kandungannya kepada dua bahagian utama, iaitu puisi tradisional dan puisi moden.

Pembahagian ini memberikan pengalaman pembacaan yang seimbang.

Pembaca disajikan puisi yang mempunyai nilai estetika tinggi. Hal ini membuktikan puisi tradisional dan puisi moden mampu bergerak seiring dalam mengetengahkan pemikiran serta mesej yang dekat dengan kehidupan. Antara puisi tradisional yang meninggalkan kesan ialah Purnama Sembilan (hlm. 3).

Syair yang terdiri daripada 10 rangkap ini menggunakan simbol bulan sebagai perlambangan yang menghubungkan keindahan alam dengan perjalanan kehidupan manusia.

Syair ini memaparkan sembilan bulan dalam takwim Hijrah sebagai lambang perjalanan rohani dan kehidupan seorang Muslim.

Perjalanan itu bermula dengan Muharam yang menekankan muhasabah diri serta penghijrahan ke arah kehidupan yang lebih baik, dengan mengambil iktibar daripada peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah.

Setiap bulan membawa pengajaran dan nilai yang berbeza sebelum mencapai kemuncaknya pada Ramadan, iaitu bulan kesembilan yang menjadi simbol penyucian jiwa serta peningkatan ketakwaan.

Melalui perlambangan bulan-bulan Islam, Nurimas SN berjaya menggabungkan unsur keagamaan, falsafah kehidupan dan keindahan bahasa dalam sebuah syair yang sarat dengan hikmah.

Penggunaan diksi yang tepat, metafora yang sarat dengan makna tersirat serta rima yang teratur menjadikan puisi tersebut bukan sahaja enak dibaca, malah mengajak pembaca merenungi perjalanan hidup dan memperkukuh hubungan dengan Allah SWT.

Walaupun berteraskan bentuk puisi tradisional, mesej yang disampaikan tetap segar dan relevan dengan pembaca masa kini.

Kejayaan Nurimas SN terletak pada kebolehannya menghidupkan syair dengan bahasa yang tidak terasa kaku.

Setiap rangkap mengalir dengan lancar dan mendorong pembaca memahami makna yang tersirat di sebalik setiap bait.

Selain puisi tradisional, bahagian yang memuatkan puisi moden turut menjadi nadi penting dalam buku ini.

Antara puisi yang menarik perhatian ialah puisi yang menjadi judul kumpulan ini, Kala Murai Berkicau (hlm. 91).

Pemilihan burung murai sebagai simbol membawa makna yang mendalam, seolah-olah setiap kicauannya menjadi suara hati dan peringatan.

Kicauan murai bukan sekadar bunyi alam, tetapi menggambarkan pesanan kepada manusia agar menghargai waktu, berusaha dengan tekun serta tidak terus leka.

Dari sudut bahasa, Nurimas SN memperlihatkan kematangan dalam memilih diksi dan membina imejan.

Beliau tidak sekadar menyusun kata-kata yang indah, tetapi berjaya membentuk suasana yang membolehkan pembaca membayangkan setiap peristiwa dan emosi yang ingin disampaikan.

Penggunaan unsur alam sebagai perlambangan turut memperkuat makna puisi.

Bahasa yang puitis tetapi mudah difahami menjadikan karya ini sesuai dinikmati oleh pelbagai lapisan pembaca, sama ada pencinta puisi mahupun mereka yang baru ingin mengenali dunia puisi.

Kumpulan puisi ini juga membuktikan puisi bukan sekadar permainan kata-kata.

Sebaliknya, setiap puisi menyampaikan mesej yang merangsang pembaca untuk berfikir, merenung dan menghargai kehidupan.

Malah, kecintaan terhadap agama dan budaya disampaikan secara halus melalui metafora dan simbol yang indah.

Pendekatan sebegini menjadikan Kala Murai Berkicau bukan sekadar bahan bacaan, tetapi karya yang mengajak pembaca berdialog dengan hati dan jiwa sendiri.

Secara keseluruhannya, Kala Murai Berkicau yang setebal 100 halaman merupakan kumpulan puisi yang berjaya menggabungkan keindahan puisi tradisional dan puisi moden dalam satu naskhah yang harmonis.

Tema keislaman menjadi antara elemen utama dalam buku ini.

Nurimas SN membuktikan puisi masih mempunyai tempat yang istimewa dalam dunia astera kerana mampu menjadi wadah untuk mengutarakan pemikiran, perasaan dan nilai kehidupan.

Karya ini wajar dimiliki oleh pencinta sastera, pendidik, pelajar serta sesiapa sahaja yang ingin menikmati keindahan bahasa Melayu dalam bentuk yang puitis dan bermakna.

Bak tiupan bayu yang lembut, puisi-puisi dalam Kala Murai Berkicau mengajak pembaca menghayati pesona pada setiap sulaman katany

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

BERITA TERBARU