Pesona syurga ikan Tanjung Manis

TANJUNG MANIS: Berbekalkan umpan dan sedikit kesabaran, rezeki pasti dalam genggaman tatkala joran direntap ikan.

Keterujaan pasti lebih terasa apabila detik mengembirakan itu dikongsi bersama rakan- rakan.

Itulah sebahagian pengalaman indah kaki pancing yang menyertai Safari Memancing Tanjung Manis 2019.

Siapa sangka pertandingan yang diperkenalkan sejak 16 tahun lalu itu terus popular dan kekal menjadi tumpuan pemancing dari seluruh Sarawak hingga ke hari ini.

Edisi kali ini terbahagi kepada kategori Laut Dalam dan Pesisir Pantai menyaksikan penyertaan lebih 150 orang peserta dari seluruh Sarawak.

Len Talif melihat hasil tangkapan pemancing yang menyertai Safari Memancing Tanjung Manis 2019

Sehubungan itu, Mohammad Hata Jamil muncul juara selepas berjaya mendaratkan kerapu 16.10 kilogram (kg), Mohd Faizal Samsudin menduduki tempat kedua dengan haruan tasik manakala ketiga disandang Abang Samsudin Abang Indi.

Tempat pertama kategori pesisir pantai dimenangi Malek Rebi yang menaikkan pari 32.70 kg, Sophian Jelani menduduki tempat kedua dan Jin Samsudin Gos (tiga), masing-masing dengan pari 22.75 kg dan 21.60 kg.

Dalam pada itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, potensi Tanjung Manis sebagai syurga ikan terus menyerlah melalui langkah proaktif Kerajaan Sarawak menanam tukun tiruan di kawasan berkenaan.

Lebih 600 tukun tiruan jenis ‘reefball’ diletakkan sepanjang 30 kilometer di Perairan Belawai sehingga Perairan Paloh sebagai langkah memelihara kepelbagaian sumber maritim, sekali gus memastikan pertumbuhan industri perikanan Tanjung Manis dan kawasan sekitarnya kekal mampan.

Usaha itu juga hasil inisiatif penting yang dilaksanakan oleh Len Talif Salleh yang juga ADUN N.41 Kuala Rajang.

Pelbagai spesis ikan yang berjaya dinaikkan.

“Selain dijadikan tempat pembiakan ikan, tukun tiruan itu juga berfungsi sebagai penghalang aktiviti pencerobohan nelayan asing.

“Tukun-tukun ini juga membantu memperkayakan hidupan marin dengan memastikan hanya kaedah penangkapan ikan tertentu sahaja dapat dilakukan.

“Saya yakin melalui usaha murni kerajaan Sarawak ini, nelayan Belawai berpeluang menjana pendapatan tambahan dengan membawa pemancing ke kawasan tersebut bagi tujuan rekreasi terutama pada hujung minggu,” ujarnya.

Menyentuh mengenai safari, Len Talif berkata, program tahunan anjuran Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) itu bertujuan mempromosikan Tanjung Manis kepada orang ramai agar mengetahui perkembangan terkini yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

“Kita gembira sambutan peserta pada pertandingan kali ini dan ternyata ia berjaya mempopularkan nama Tanjung Manis kepada masyarakat luar,” jelasnya.

Hadir sama Pengurus Besar Pusaka Hashim Bojet dan Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang.

Pari yang membawa tuah kepada pemancing.