ARTIKEL

Minos (tengah) merakam kenangan bersama Dr Florince Christy (dua kiri) dan pegawai lain.

Pesta Makanan dan Kebudayaan Samarahan 10-19 Mei ketengah ulam-ulaman, makanan etnik

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Lebih 2,000 pengunjung disasarkan untuk memeriahkan Pesta Makanan dan Kebudayaan Samarahan (SFCF) bermula 10 hingga 19 Mei ini.

Menurut Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Datuk Peter Minos, festival yang berlangsung di Pusat Beli-Belah Aiman Mall itu juga bakal merealisasikan misi mencatat pameran 100 jenis ulam-ulaman di dalam ‘Malaysia Book Of Records’ pada 18 Mei depan.

“Majlis penutupan akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, manakala majlis perasmian pada 10 Mei akan disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media SFCF di bangunan MPKS di sini, semalam.

Tambah Minos lagi, antara jenis ulam-ulaman yang akan dipamerkan termasuk ulam raja, terung pipit, rebung, pucuk ubi, pucuk mudang, asam pelam, daun pegaga, linut, umai, dabai, umbud tepus, kangkung dan banyak lagi.

Sementara itu, katanya, sebanyak 57 gerai yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman, terutamanya makanan tradisional kaum-kaum di sekitar Samarahan, akan disediakan sepanjang festival berlangsung.

Pada masa sama, Pengerusi Penganjur, Kaunselor Dr Florince Christy memberitahu objektif festival itu adalah untuk memperkenalkan dan memusatkan makanan tradisional Melayu, Cina, Iban, Bugis, Bidayuh, Jawa dan etnik lain di Kota Samarahan.

“Kita juga ingin memperkenalkan budaya dan kesenian tradisional pelbagai etnik dengan memperkasakan budaya di Samarahan.

“Selain itu, kita mahu mewujudkan peluang bagi sektor keusahawanan makanan dalam kalangan peniaga makanan di Samarahan melalui rangkaian perniagaan bermula dari kawasan Samarahan hingga ke Sebuyau,” katanya.

Dalam pada itu, Florence menyatakan MPKS menerima sebanyak 15 penyertaan bagi pameran kraf, selain 120 penyertaan bagi ‘Big Bike Gathering dan Autoshow’ yang akan diadakan pada 19 Mei, iaitu hari terakhir festival itu.

Selain itu, ujarnya, antara aktiviti lain yang akan diadakan adalah Malam Kebudayaan pada 11 Mei, Pertandingan Ratu Cilik pada 12 Mei, Malam Kebudayaan Masyarakat Bugis pada 13 Mei, dan saringan Pertandingan ‘Samarahan Got Talent’ pada 14 hingga 16 Mei.

BERITA LAIN

RM35,000 untuk ganti paip graviti lama

PAKAN: Sejumlah RM35,000 telah diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih bagi membeli dan menggantikan batang paip graviti lama sekolah tersebut untuk kegunaan seharian mereka.

BERITA TERBARU

RM35,000 untuk ganti paip graviti lama

PAKAN: Sejumlah RM35,000 telah diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih bagi membeli dan menggantikan batang paip graviti lama sekolah tersebut untuk kegunaan seharian mereka.