Pesta Padaq @ Pesta Udang 2019 ketengahkan keunikan Balingian kaya dengan udang

BALINGIAN: Bagi mengetengahkan Balingian yang kaya dengan sumber udang Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) dan Jawatankuasa Kampung (JKP) Zon Balingian, buat julung kalinya bakal mengadakan satu Pesta Padaq @Pesta Udang pada 30 November ini bertempat di Tebingan Batang Sungai Balingian.

Orang ramai dijemput hadir bersama-sama untuk memeriahkan lagi pesta yang pertama kali diadakan di Daerah Balingian ini. Secara umumnya panggilan “Padaq” cukup sinonim buat masyarakat tempatan di Balingian dan Mukah yang bermaksud udang.

Menurut Penyelaras Kawasan Zon Balingian Jabatan MDDM, Adeni Narawi, objektif utama penganjuran pesta tersebut ialah untuk mempromosikan Balingian sebagai lokasi yang terkenal dengan udang.

“Udang yang ada di Balingian ini kebiasaannya berbeza rasanya dengan udang di tempat lain, lebih-lebih lagi kebanyakkan kedai makan di Balingian menjual makanan berasakan udang ini antaranya mee udang, nasi udang dan sebagainya.

ADENI NARAWI

“Bagi kali pertama ini kita ingin lebih mempromosikan serta ingin melihat kepada sambutan masyarakat dalam serta luar terhadap pesta ini,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jelasnya pelbagai aktiviti akan diadakan selama sehari untuk pesta berkenaan antaranya ialah Pertandingan Menjala Padaq (Terbuka untuk Kategori seekor terberat dan keseluruhan terberat), Pertandingan Memancing Udang (Terbuka untuk Kategori seekor terberat dan keseluruhan), dan Pertandingan Memasak Padaq (Tertutup kepada 6 JKK di Balingian).

“Pesta tersebut juga ditambah dengan Pertandingan Mewarna (Tertutup Balingian), Pertandingan Berkaraoke (10 orang terawal), Pertandingan Tarian Senaman Kreatif (Tertutup untuk 10 pasukan) dan juga Pertandingan suara burung (Pekicau Balingian),” katanya.

Acara sampingan pada hari kejadian juga ialah turut diadakan buskers bagi memeriahkan program.

Menjadi harapan beliau juga agar melalui pesta tersebut Balingian mampu dikenali di seluruh pelusuk Sarawak serta memberi kesan kepada kemasukan pengunjung dari luar ke Balingian, manakala dari segi ekonomi ia diharap dapat memberi kesan kepada hasil pendapatan rakyat Balingian.

Dalam pada itu, pesta tersebut akan dirasmikan oleh Adun Balingian Abdul Yakub Arbi bertempat di Pekan Balingian.

Untuk maklumat lanjut mengenai pesta tersebut orang awam boleh menghubungi Kaunselor Semeon di 019-3558265, Kaunselor Harbi Bakir di 0138483943 dan Adeni Narawi di 014-8889641.