Pesta Pusa 2019, 19-21 Julai depan

PUSA: Penganjuran Pesta Pusa 2019 yang dirancang untuk diadakan dari 19 sehingga 21 Julai depan sudah dimuktamadkan.

Menurut Pegawai Daerah Pusa Bujang Budin, pihaknya selaku pengelola utama telah membuka urusan pendaftaran bagi acara sukan air regata lumba perahu yang menjadi pengisian utama.

“Pesta yang dianjurkan dua tahun sekali itu sudah pastinya ditunggu-tunggu oleh peminat dan penggiat lumba perahu dari seluruh Sarawak.

“Justeru, mereka yang berhasrat untuk berentap di Batang Rimbas dialu-alukan untuk membuat pendaftaran awal.

“Kalau dua tahun lepas kita menerima penyertaan yang begitu mengalakkan, jadi tahun ini kita mengharapkan lebih daripada itu… moga jua ia lebih berjaya,” katanya.

MERIAH … Tetamu mengambil juadah yang disediakan.

Beliau bercakap demikian pada Majlis Sambutan Gawai Raya Peringkat Pejabat Daerah Pusa di sini, malam kelmarin.

Beliau mengharapkan keterlibatan seluruh warga Daerah Pusa untuk bersama memeriahkan pesta itu nanti.

“Kita menjangkakan pada masa itu, pelbagai program dan aktiviti disusun atur… insha-Allah ada artis popular dibawakan khas.

“Sebab itu saya mengalu-alukan penduduk di Daerah ini agar bijak mengambil peluang. Kita sebagai tuan rumah, maka ini peluang untuk kita menambah pendapatan. Jangan hanya mahu menjadi penonton.

“Begitu juga pasukan lumba perahu yang akan bertanding, pastikan kejuaraan dan hadiah lumayan yang ditawarkan kelak dimonopoli oleh orang kita.

“Saya tahu Barracuda sudah bersedia dan mengharapkan ada pasukan-pasukan hebat yang lain yang akan bersama mengocak Batang Rimbas sekaligus memberi cabaran sengit… semangat untuk mengembalikan sukan tradisional itu yang kita mahu,” ujarnya.

Bujang mengakui, sukan lumba perahu merupakan ejen menyatukan pelbagai pihak yang cukup berkesan kerana ia memerlukan semangat kesukanan dan kerjasama yang tinggi antara pekayuh.

Beliau dalam pada itu memaklumkan, antara program lain yang akan berlangsung dalam masa terdekat ialah kursus Pasukan Bertindak Kecemasan Komuniti (CERT) , Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS), Gotong-royong Mega Membanteras Denggi dan Sambutan Hari Kemerdekaan Sarawak serta pelbagai lagi.

Adun Beting Maro Razaili Gapor pada majlis tersebut meluluskan sumbangan RM5,000 kepada Pejabat Daerah Pusa.

Hadir sama Timbalan PBB Cawangan Awang Sarbini Gapor mewakili Razaili, Penolong Pegawai Daerah Pusa Bujang Ladi, Pemanca Daerah Pusa Awang Raziee Awang Mohd Zain, ketua-ketua jabatan, masyarakat dan kaum.

UNTUK ALBUM … Bujang bergambar kenangan bersama ketua-ketua masyarakat dan kaum pada Majlis Sambutan Gawai Raya Peringkat Pejabat Daerah Pusa di sini, malam kelmarin. Foto. OSMAN RAZALI

Suara Sarawak