Petanak sedia menyengat

DUA pasukan dari Kampung Petanak telah pun bersedia awal bagi mengharungi Kejohanan Bola Sepak MuFA Piala Parlimen P213 Mukah 2020 yang bermula petang ini.

Dua pasukan tersebut ialah Petanak United dan Petanak FC.

Petanak FC diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Pekala United, Sau FC dan Leetonia JKKK. Petanak FC akan menentang Pekala United petang Selasa ini.

Manakala Petanak United akan merembut slot ke pusingan kedua bersama-sama KRT Tellian Tengah, KSRB Balingian dan Alo Star B dalam Kumpulan D.

Dua pasukan tersebut merupakan antara 21 pasukan yang akan merebut kejuaraan yang julung kali diadakan pada kali ini.

Dalam ucapan sesi penyerahan jersi pasukan, Penghulu Kampung Petanak, Edmund Innu Sebli selaku penasihat pasukan mengharapkan kedua-dua pasukan tersebut berjaya melangkah jauh dalam kejohanan tahun ini.

“Saya juga berterima kasih kepada pengurusan kedua-dua pasukan kerana berjaya membentuk pasukan yang lebih teratur pada kali ini,” ujarnya.

Turut hadir dalam sesi penyerahan jersi pasukan tersebut ialah Ketua Kaum Kampung Petanak Hilir, Will Plin, Ketua Kaum Kampung Petanak Hulu, Kuheng Akup, Pengurus Pasukan Petanak FC Mohd. Hazry, Pengurus Pasukan Petanak United, Daniel Tan, para jurulatih, pegawai dan pemain-pemain.

Sebagai rekod, Petanak telah berjaya melahirkan pemain-pemain yang mewakili Sarawak dalam pelbagai peringkat Liga Malaysia sejak dari dahulu lagi.

Antaranya ialah Felix Nujol, Jostine Layang dan Roslan Hamdan. Pada tahun ini, dua orang pemain yang berasal dari Kampung Petanak mewakili pasukan Kuching FA iaitu Sufizal Ismail dan Daineleffino Aiho.

Sufizal menyertai yang juga bekas penyerang Sarawak menyertai skuad senior Kuching FA yang akan beraksi dalam Liga Premier 2020.

Manakala Daineleffino Aiho menyertai skuad Piala Presiden Kuching FA. Daineleffino merupakan pemain muda paling berbakat di Mukah sekarang ini.

JAGUH PETANAK… Penyerang Kuching FA, Sufizal Ismail (kanan) dan pemain tengah skuad Piala Presiden Kuching FA, Daineleffino Aiho.

Suara Sarawak