Petanda awal Bonnie untuk menyerlah di Tokyo

JAGUH angkat berat para negara, Bonnie Bunyau Gustin begitu teruja dengan kejayaannya merangkul pingat emas serta mencipta rekod dunia baharu pada Kejohanan Powerlifting Piala Dunia Fazza Edisi Ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Selasa lalu.

Ia sekali gus menjadi petanda awal buat badang kelahiran Kampung Baru Mawang, Serian untuk cuba mencetak kejayaan serupa buat kem negara dan dirinya di Sukan Paralimpik Tokyo nanti.

“Memang gembira apabila berjaya meraih pingat emas dan lebih bermakna sekali saya berjaya mencipta rekod dunia yang baharu untuk kejohanan itu,” ujar Bonnie ketika dihubungi Arena Suara Sarawak.

Bonnie yang bersaing dalam kategori 72kg berjaya melakukan angkatan 230kg sekali gus memecah rekod lama (229kg) milik atlet kelahiran Iran iaitu Roohallah Rustami semasa Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Mengatasi dua pencabar terdekatnya, Peng Hu dari China (214kg) selaku pemenang pingat perak dan Nnamdi Inccocent (213kg) dari Nigeria selaku pemenang pingat gangsa.

Ia merupakan kejuaraan dunia kedua untuk Bonnie tahun ini selepas meraih pingat emas pada Kejohanan Powerlifting Piala Dunia Bangkok, Thailand awal bulan Mei lalu.

Suara Sarawak