Petani terjejas PKP lega

DARO: Insiatif Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) melegakan golongan petani yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Adun Daro Safiee Ahmad berkata, pendekatan bersepadu yang dilaksanakan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) itu membantu petani yang berdepan masalah menjual dan memasarkan hasil pertanian mereka.

Menurutnya, usaha itu juga meleraikan kebuntuan petani mencari pasaran dan seterusnya berupaya menjana pendapatan bagi menampung keperluan seharian.

“Semoga usaha ini dapat membantu rakyat khususnya di luar bandar yang bergantung kepada hasil pertanian sebagai sumber pendapatan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Mengenai petani di kawasannya Safiee menjelaskan, produk seperti buah nanas dan pamelo dari Rumah Lisa, Sungai Ilas, Meradong sudah dibeli oleh Fama Sarikei.

Malah katanya, PPK Daro turut membantu petani di Kampung Penasu dengan membeli dan memasarkan buah nanas selepas melakukan usaha yang sama iaitu memborong ubi keledek di Pulau Bruit baru-baru ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Daerah Meradong dan Jabatan Pertanian Daerah Meradong atas usaha menyelaras urusan ini dengan menjadikan kawasan berdekatan Jambatan Stubah sebagai pusat pengumpulan,” ujarnya.

Suara Sarawak