MIRI: Sebanyak 46 projek pembangunan di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bernilai RM7.3 bilion telah diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi memperkukuh infrastruktur sumber air, bekalan air dan perkhidmatan pembetungan di Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, daripada jumlah itu, 29 projek melibatkan pembangunan sumber air, enam projek bekalan air dan 11 projek perkhidmatan pembetungan.

Beliau berkata, sebanyak 33 projek merupakan projek sambungan dengan kos RM7.03 bilion, manakala 13 lagi ialah projek baharu bernilai RM273 juta.
Daripada jumlah keseluruhan, 29 projek dibiayai menerusi geran langsung Kerajaan Persekutuan dan 17 projek lagi melalui pinjaman Persekutuan.
“Sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 25 projek berada di peringkat prapelaksanaan, 14 projek sedang dalam pembinaan dan tujuh projek telah siap sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas meninjau kerja-kerja penstabilan tebing sungai di Tanah Perkuburan Tab Cina, di sini, hari ini.
Menurutnya, bagi mempercepat pelaksanaan projek, PETRA bersama Kerajaan Sarawak telah menubuhkan Pasukan Tugas Khas Penyelarasan Projek Pembangunan PETRA di Sarawak bagi menyelaras pelaksanaan projek serta menyelesaikan isu yang berbangkit.
Katanya, di peringkat negeri, Jawatankuasa Eksekutif Kecil yang dipengerusikan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sarawak turut bermesyuarat setiap bulan bagi mempercepat penyelesaian isu di tapak projek.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata sebanyak 29 projek mitigasi banjir melibatkan Rancangan Tebatan Banjir (RTB), Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT), projek hakisan pantai dan pemuliharaan sungai telah diluluskan di Sarawak dengan nilai keseluruhan RM3.834 bilion sebagai usaha jangka panjang mengurangkan risiko banjir dan meningkatkan daya tahan infrastruktur negeri.




