ARTIKEL

Yusri Anuar Ahmad (dua kiri) menyerahkan kunci enjin bot baharu sumbangan PETRONAS kepada Sapinah Mohd (dua kanan) di Kampung Nail hari ini. | BERNAMA

‘PETRONAS 50 Dreams’ tunai impian nelayan wanita hidap kanser

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA BESUT, Terengganu: Seorang nelayan wanita, yang menderita kanser ovari tahap empat, dari Kampung Nail di sini tidak menyangka akan memperoleh pelbagai bantuan bernilai puluhan ribu ringgit daripada PETRONAS hari ini.

Sapinah Mohd, 60, menganggap bantuan peralatan menangkap ikan, antaranya sebuah enjin bot baharu serta bantuan lain, buat dirinya sekeluarga menerusi Program Petronas 50 Dreams itu ibarat bulan jatuh ke riba.

“Sebelum puasa, ada wakil PETRONAS datang ke rumah saya dan bertanyakan apa yang saya perlukan  untuk meningkatkan ekonomi keluarga.

“Saya beritahu, kalau boleh nak enjin bot yang baharu untuk menggantikan enjin bot sedia ada yang selalu rosak sejak saya mula keluar menangkap ikan bersama arwah suami, Wan Jusoh Ayop, pada 2016,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian enjin bot oleh Pengurus Kanan Pejabat PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Yusri Anuar Ahmad di rumahnya hari ini.

Katanya, dia terkejut apabila tidak lama selepas itu, PETRONAS memaklumkan dia bukan sahaja memperoleh enjin bot 60 kuasa kuda dan pukat baharu, malah turut menerima peralatan membuat karipap, manakala bahagian hadapan rumahnya akan diubah suai untuk dijadikan bengkel dan pusat jualan kuih berkenaan.

Kata wanita yang kehilangan suami pada 28 Nov tahun lepas akibat masalah jantung itu, dia terpaksa meneruskan tugas sebagai nelayan bersama anak bongsunya, Wan Nur Aidil, 22. 

“Sebelum ini, saya sering keluar menangkap ikan bersama suami sejak 2017, tetapi tidak lama selepas itu, saya disahkan menghidap kanser ovari tahap empat.

“Arwah suami mengajak saya ke laut bersamanya kerana tidak mahu saya lebih tertekan jika berada di rumah, dia bimbang saya akan sentiasa fikir mengenai penyakit yang dihidapi, sekali gus menjejaskan kesihatan saya,” katanya yang turut mengalami masalah buah pinggang, saraf, jantung serta tekanan darah tinggi. 

Sapinah, yang tinggal tujuh orang serumah bersama anak dan cucunya, berkata keadaan itu bagaimanapun tidak menghalangnya turun ke laut demi menyara keluarga meskipun pendapatannya tidak menentu.

Di laut, Sapinah bertanggungjawab melabuh dan menarik pukat, manakala anaknya ditugaskan untuk mengendalikan bot.

Mereka lazimnya keluar selepas subuh dan hanya pulang kira-kira pukul 2 petang.

“Bantuan ini tentunya akan melancarkan lagi kerja saya, dan insya-Allah rezeki saya mungkin akan lebih baik selepas ini,” katanya yang baru sekali turun ke laut sejak Ramadan ini disebabkan enjin botnya rosak.

Sementara itu, Yusri Anuar berkata program ‘PETRONAS 50 Dreams’ itu dianjurkan syarikat petroleum negara bagi merealisasikan 50 impian rakyat Malaysia terpilih, termasuk Sapinah.

“Untuk kali ini, kami baru sahaja memenuhi impian Sapinah, seorang nelayan wanita.

“Impiannya adalah untuk mempunyai sebuah enjin bot baharu bagi menggantikan enjin bot sedia ada yang telah rosak.

“Kami berharap dengan sumbangan ini, termasuk bangunan dan peralatan pembuatan karipap, Sapinah akan memberi tumpuan kepada aktiviti pembuatan karipap berbanding turun ke laut,” katanya. – BERNAMA

BERITA LAIN

Polis mohon bantuan cari kanak-kanak hilang

JOHOR BAHRU: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang sejak 20 Mei lepas. Ketua Polis Daerah

PDRM

Warga emas ditemui maut dalam longkang

IPOH: Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh dalam longkang besar Sungai Pinji, Kampung Sungai Rapat, di sini semalam. Ketua

BERITA TERBARU

RM35,000 untuk ganti paip graviti lama

PAKAN: Sejumlah RM35,000 telah diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih bagi membeli dan menggantikan batang paip graviti lama sekolah tersebut untuk kegunaan seharian mereka.