Petronas diberi masa sehingga penghujung Oktober

KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi tempoh sehingga penghujung Oktober ini untuk Petronas memberi jawapan mengenai pembayaran cukai jualan lima peratus terhadap minyak dan gas.

Demikian tegas Speaker Dun, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Perunding MA63 yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Dun, semalam.

Katanya, isu minyak dan gas adalah tuntutan utama Kerajaan Sarawak untuk menikmati hak istimewa seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Setiap perbincangan harus ada kata putus dan sampai bila kita perlu berbincang tanpa keputusan?

“Oleh itu, kita memberi tempoh sehingga penghujung Oktober depan untuk Petronas memberi keputusan bagi membayar cukai jualan terhadap minyak dan gas,” katanya.

SIDANG MEDIA … Asfia (tengah) pada sidang media bersama Jawatankuasa Perunding MA63 yang lain di Kuching sebentar tadi.