KUCHING: Petronas komited menyokong aktiviti serta program keselamatan kebakaran yang dianjurkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah JBPM Sarawak Khirudin Drahman@Hussaini ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat JBPM Sarawak, pada Isnin.
Beliau berkata, Petronas Sarawak antara syarikat yang komited dalam program yang dianjurkan oleh jabatan itu. “Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada rakan strategik JBPM iaitu Petronas Sarawak.
“Justeru, warga bomba diharap dapat mengekalkan komitmen dalam memberikan perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat,” jelasnya.
Terdahulu, majlis turut menyaksikan penyerahan sumbangan staf Petronas Sarawak oleh Pengurus Besar Petronas Sarawak Zulaihi Mohd Mantali kepada Khirudin.
Terdahulu Khirudin mengesahkan sumbangan tersebut berupa penghargaan daripada Petronas untuk mengurangkan beban pegawai bomba dan pegawai bomba bantuan yang cedera ketika terlibat dalam operasi menyelamat di Kuala Serupai Tatau pada 17 September lalu.
Selain itu katanya, sumbangan turut melibatkan operasi memusnahkan sarang serangga berbisa oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dan PBB Tanjung Manis.
Sumbangan tersebut diserahkan kepada wakil BBP Tatau, PgKB II John Sagun Francis dan wakil PBB BBP Tanjung Manis, Yusuf Bahar, bapa kepada PBB Mohd Ridhwan Yusuf. Turut diadakan, penyampaian sijil penghargaan kepada lapan pegawai bomba dan pegawai guna sama berpindah ke negeri dan jabatan lain.