KUCHING: Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) akan meningkatkan bekalan gas asli domestik sehingga 1200 juta kaki padu standard sehari (mmscf/d) menjelang 2030.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia sebagai langkah pencapaian peningkatan bekalan melebihi 250 peratus, sekali gus menjamin sumber Sarawak untuk kemajuan negeri ini.
“Justeru, Sarawak berada pada kedudukan yang baik untuk melaksanakan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Bagi Pembekalan Gas Asli kepada Sarawak, hari ini.
Mengulas mengenai Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR) yang direka untuk merealisasikan potensi penuh sumber gas Sarawak, beliau mendedahkan bahawa ia bertujuan untuk mencapai Wawasan Sarawak 2030.
Katanya, SGR dijangka menyumbang ke arah 10 peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi.