Petronas tidak bayar sejak Januari

SIBU: Hutang Petronas dengan Kerajaan Sarawak dapat diselesaikan dalam masa dua bulan dan berharap rakyat negeri ini bersabar, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Kami ada cara sendiri untuk menyelesaikan masalah ini. Kerajaan Sarawak akan mengadakan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan tidak lama lagi.

“Petronas sudah tidak membayar cukai kepada Sarawak sejak Januari lalu,” katanya semasa menghadiri Sesi Townhall Bersama warga Sibu di sini, semalam. Beliau bagaimanapun yakin masalah tersebut dapat diselesaikan.

“Kerajaan Persekutuan harus menghormati hak kita. Sarawak bukannya sesuka hati mengenakan cukai, tetapi berdasarkan undang-undang untuk melaksanakan cukai.

“Kami tidak salah kerana cukai itu dapat dijadikan pendapatan tambahan kepada Sarawak,” tegasnya.

Abang Johari berikrar, kalau umurnya panjang beliau akan melaksanakan apa yang keluar daripada mulutnya termasuk menuntut cukai yang belum dibayar.

Menurutnya, Sarawak mengeluarkan hasil minyak dan gas sebanyak RM660 bilion sejak 1976 hingga 2018 tetapi hanya mendapat RM33 bilion.

“Hanya Petronas belum membayar kita sementara Shell, Murphy Oil dan Pertamina sudah membayar kita,” tambahnya lagi.

Bercakap mengenai perkara lain, beliau membidas beberapa pihak tertentu yang menyifatkannya bercakap sahaja.

Katanya, apa yang terlintas dalam mindanya semata-mata untuk membangunkan Sarawak sebagai negeri termaju di Malaysia pada 2030.

Oleh itu, beliau sangat menekankan teknologi dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Memang melaksanakan sesuatu mengambil masa dan ia tidak dapat terus menjadi. Kami kena rancang, mewujudkan pelan serta proses lain sebelum ia dapat direalisasikan. “Insya-Allah kalau umur saya panjang, saya akan buktikan. Saya tidak cakap sahaja tetapi saya buat.

“Banyak sudah apa yang saya cakap selama ini sama ada sudah dilaksanakan atau sedang dalam proses pelaksanaan,” katanya lagi.

Beliau memberi jaminan Kerajaan Sarawak sekarang stabil dan mampu menarik ramai pelabur datang ke negeri ini.

Sebagai contoh, jelasnya, pelabur dari Amerika Syarikat membuat pelaburan di Sarawak sebanyak RM32 bilion.

“Dengan mempunyai kerajaan dan negeri yang stabil, ia merupakan penarik utama pelabur kerana mereka yakin duit yang mereka labur selamat.

“Itulah asas utama untuk kita meningkatkan ekonomi negeri ini dengan mempunyai aspek tersebut,” kata Abang Johari.

Beliau juga katanya, mengambil perhatian terhadap beberapa pembangunan yang akan dilaksanakan di sini.

Antaranya rancangan membina litar lumba, mereka bentuk semula Tebingan Batang Igan, mewujudkan Sibu Moden dan Smart City di Jalan Oya, mewujudkan sekolah antarabangsa dan Taman Hijau.

Kira-kira 1,000 orang pelbagai lapisan umur dan masyarakat menghadiri sesi tersebut.

Sesi dikendalikan moderator Abang Fairul Syarmil Abang Mohd yang merupakan Pengerusi Persatuan Graduan Bumiputera Sibu (PGBS).