ARTIKEL

Abang Arabi bersama-sama pasukan PETROS dan PETRA Energy meraikan penghantaran kapal tangki minyak pertama.

PETROS dan PETRA Energy capai pengeluaran minyak pertama di Blok SK433

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak mencatat satu lagi detik penting apabila Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan PETRA Energy Berhad (PETRA) berjaya memulakan pengeluaran minyak pertama daripada Sistem Pengeluaran Awal (EPS) Selatan Adong Kechil di Blok SK433, sekali gus menghidupkan semula industri minyak dan gas daratan negeri selepas hampir lima dekad.

Pencapaian itu terhasil daripada kejayaan kerja penggerudian telaga penilaian dan pembangunan pada 2023, sekali gus membuktikan keupayaan usaha yang diterajui Sarawak dalam membangunkan semula sumber petroleum daratan walaupun berdepan cabaran teknikal berkaitan pembangunan takungan hidrokarbon di daratan.

Kepala telaga pengeluaran merupakan komponen kritikal yang memastikan aliran hidrokarbon dapat dilakukan secara selamat dan cekap.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Sarawak PETROS, Datuk Abang Arabi Abang Narudin berkata, kejayaan tersebut bukan sekadar pencapaian projek, malah mencerminkan kekuatan kerjasama strategik yang membolehkan pembangunan medan berkenaan direalisasikan.

“Kita bukan sahaja meraikan kejayaan satu projek penting, tetapi juga kekuatan kerjasama yang menjayakannya.

“PETROS kekal komited memastikan penerokaan dan pembangunan sumber hidrokarbon negeri dilaksanakan secara bertanggungjawab melalui kerjasama strategik serta kecemerlangan operasi demi mewujudkan nilai jangka panjang kepada Sarawak dan rakyatnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pelaksanaan EPS sebagai pembangunan secara berfasa membolehkan pengeluaran awal dimulakan sambil mengumpul data penting mengenai takungan dan operasi yang akan digunakan bagi memperkukuh pembangunan medan pada masa hadapan.

“Maklumat tersebut akan menyokong pembangunan bersepadu penemuan petroleum di kawasan sekitar sebagai Kluster Selatan Adong Kechil, sekali gus memaksimumkan potensi sumber dan menjamin bekalan gas jangka panjang.

“Ia dijangka menghasilkan sehingga kira-kira 800 tong minyak sehari pada peringkat awal pengeluarannya,” jelasnya.

Beliau menambah, fasa seterusnya pembangunan kluster tersebut akan memberi tumpuan kepada pembinaan kemudahan pengeluaran dan infrastruktur sokongan bagi memastikan bekalan gas mencukupi kepada projek Loji Janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan Miri yang disasarkan beroperasi menjelang penghujung 2027.

“Pembangunan sumber petroleum daratan itu akan membantu memperkukuh daya tahan bekalan tenaga bagi memenuhi keperluan tenaga Miri pada masa depan, selain meningkatkan keselamatan tenaga jangka panjang Sarawak.

“Kejayaan pengeluaran minyak pertama ini turut membuktikan potensi besar sumber hidrokarbon daratan Sarawak.

“PETROS akan terus komited meneroka dan membangunkan sumber ini secara bertanggungjawab bagi memperkukuh daya tahan tenaga negeri demi manfaat Sarawak dan rakyatnya,” tegasnya.

Sebagai simbolik kejayaan projek berkenaan, PETROS dan PETRA turut meraikan penghantaran kapal tangki minyak pertama daripada medan minyak tersebut yang menandakan bermulanya operasi pengeluaran komersial di kawasan berkenaan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU