Trending

Petros dianugerahkan dua lapangan minyak dan gas

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan dua lapangan minyak dan gas kepada Petros, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak melalui Petros memiliki hak kawal selia ke atas sumber minyak dan gas yang dihasilkan dari kawasan darat termasuk memilih dan melantik kontraktor untuk meneroka dan menghasilkan minyak dan gas.

Jelasnya, bagi tujuan itu Kerajaan Sarawak mengukuhkan lagi peranan Petros dalam industri minyak dan gas terutamanya di sektor hiliran.

“Fokus akan diberi bagi mendapatkan bekalan gas asli yang mencukupi untuk Sarawak seterusnya mendorong agenda pembangunan industri di negeri ini,” katanya pada Jamuan Malam Industri Minyak dan Gas Sarawak di sini, malam tadi.

Ketua Menteri berkata, pemberian sewa perlombongan kepada Petros melibatkan dua blok di Adong Kecil Barat Miri dan Daerah Engkabang di selatan Marudi.

Katanya, semua inisiatif berkenaan akan memastikan peluang lebih besar bagi syarikat dan rakyat menyertai dan melabur dalam industri minyak dan gas.

“Inisiatif tersebut termasuk untuk memperoleh kepakaran, pengetahuan dan teknologi yang menyumbang kepada pertumbuhan dan pengembangan industri minyak dan gas yang berterusan serta menyumbang kepada kejayaan ekonomi negeri,” jelasnya.

Jelas Abang Johari, aktiviti eksplorasi baharu untuk pengeluaran minyak dan gas di Miri dan Marudi bakal menyaksikan pertumbuhan ekonomi pesat di kawasan tersebut.

Beliau menambah, ia termasuk penubuhan hab petrokimia dan kilang pemprosesan gas untuk meningkatkan keselamatan bekalan gas petroleum cecair (LPG) untuk memenuhi permintaan LPG yang semakin meningkat di negeri.

Beliau yakin Petros bersedia memainkan peranan memajukan dasar dan objektif Kerajaan Sarawak.

“Saya meminta anda semua yang terlibat dalam industri ini untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Petros untuk menjadikannya berkembang secara lestari dan mesra perniagaan.

“Kita juga akan terus bekerjasama dengan pemain industri sedia ada termasuk Petronas dan Shell,” ujarnya.

Katanya, Ordinan Perlombongan Minyak tidak pernah dimansuh walaupun dalam tempoh Proklamasi Darurat 1969.

“Kerajaan di bawah kepemimpinan saya sangat komited untuk mengawal selia perlombongan minyak bagi melindungi kepentingan dan aspirasi rakyat di negeri ini,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Pengerusi Petros Tan Sri Hamid Bugo.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru